MELAKA: Ketidakstabilan politik melibatkan isu kedudukan Ketua Menteri ketika ini boleh menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap Barisan Nasional (BN).
Menyuarakan kebimbangan itu, pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman berkata, masyarakat pastinya sudah jelak dengan cerita-cerita politik dan kini mereka mahu melihat Melaka maju ke hadapan.
Tegasnya, khabar angin berhubung desakan supaya Datuk Seri Sulaiman Md. Ali meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 tidak sepatutnya berlaku kerana hal tersebut boleh melahirkan kebencian dalam kalangan pengundi.
“Saya boleh labelkan politik Melaka ‘tenang dalam gelora’. Inilah hakikat yang berlaku sekarang dan perkara ini seharusnya dibuang jauh-jauh,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman mengingatkan pihak terlibat, kedudukan serta pelantikan Sulaiman adalah tertakluk kepada janji pilihan raya negeri (PRN).
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad pula berkata, lima ketua bahagian di negeri ini sebulat suara mempertahankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu terus kekal memegang jawatan tersebut sehingga habis penggal.
Malah, khabar angin yang mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri dalam masa terdekat, dianggap sengaja diadakan pihak tidak bertanggungjawab.
Dalam pada itu, ADUN Ayer Keroh daripada DAP, Kerk Chee Yee sekali lagi mencabar 20 ADUN BN untuk menyatakan sokongan sama ada kekal menyokong Sulaiman atau tidak.
Beliau berkata, kemelut kepemimpinan yang sedang melanda kerajaan negeri kini tidak sukar untuk ditamatkan, seandainya kesemua ADUN kerajaan berani melakukan tindakan itu.
“Kalau itu hanya ‘politik murah’, BN Melaka boleh sahaja menyangkal politik murah itu dengan meminta 20 ADUN mengatakan pendirian mereka. Namun, hanya segelintir pemimpin UMNO yang mengeluarkan kenyataan.
“Sekarang, pemimpin UMNO sendiri pula tampil mengatakan bahawa ada mastermind (dalang) tengah menggesa Sulaiman letak jawatan. Apa macam sekarang,” katanya. – UTUSAN










