PETALING JAYA: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dijangka memperhalusi cadangan mengadakan pemilihan semula (recall election) wakil rakyat sekiranya individu terbabit gagal melaksanakan mandat yang diberikan sekali gus membolehkan pilihan raya diadakan semula.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya mengambil maklum kemungkinan cadangan pemilihan semula itu Khamis ini.
Bagaimanapun katanya, fokus ketika ini adalah menyelesaikan pindaan bagi menghalang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti terlebih dahulu.
“Kita telah bersetuju, pindaan untuk menghalang lompat parti tapi mungkin masih ada cadangan yang belum kita perhalusi mengenai recall election.
“Tetapi rakyat sendiri tak boleh bertindak untuk mengambil tindakan pada wakilnya jika tak buat apa yang rakyat nak iaitu recall election, jadi kita lihat benda ini mungkin akan buat undang-undang satu lagi, tetapi kita selesai satu peringkat dulu (pindaan anti lompat parti),” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada Khamis ini, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan meneliti semua pandangan dan cadangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak termasuk pakar perundangan, akademik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tentang pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.
September lalu media melaporkan, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menghantar notis usul cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Menurut beliau, usul yang dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) iaitu membabitkan RUU anggota Parlimen bukan ahli kerajaan itu adalah selari dengan inisiatif anti lompat parti yang sedang diusahakan kerajaan hari ini dan secara tidak langsung mewujudkan kebersamaan selaras semangat Keluarga Malaysia dengan merangkumi kerjasama rentas parti.
Beliau juga berharap jasa baik Wan Junaidi agar membawanya ke depan secara ‘fast track’ seperti pernah dilakukan untuk RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 pada 2015.
Mengulas mesyuarat Khamis ini, Wan Junaidi berkata, pihaknya akan meneliti semua cadangan kepada jawatankuasa berkenaan.
Katanya, jawatankuasa itu juga akan melihat sama ada cadangan itu sesuai atau sebaliknya berkaitan pindaan menghalang wakil rakyat bertukar parti.
“Mungkin ada benda baharu dan mungkin tidak, tetapi bagaimanapun kita kena lihat dan baca sebab mereka bukannya membuang masa untuk menghantar input kepada kita.
“Jadi kita kena menghargai input ini supaya undang-undang menjadi betul-betul ada maklumat-maklumat daripada pemegang taruh dari luar.
“Kita tak ada masa jemput mereka bersemuka, jadi kita mohon hantar secara bertulis,” jelasnya.
Jawatankuasa Pilihan Khas mengkaji Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang mula bermesyuarat di Dewan Rakyat April lalu diberikan tempoh sebulan meneliti pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan wakil rakyat melompat parti.
Walaupun semua ahli Parlimen senada rancangan penggubalan Anti Lompat Parti, namun ada dalam kalangan mereka mahu tafsiran undang-undang itu diteliti khususnya tentang definisi sebenar amalan lompat parti.
Misalnya Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu definisi undang-undang itu dikaji terperinci apabila membabitkan perbuatan melompat parti terpaksa dilakukan dalam keadaan dan sekiranya tiada satu parti mendapat majorti mudah selepas keputusan pilihan raya umum.
Beliau berkata, keadaan itu bakal menyaksikan satu parti lain perlu menyertai pihak dalam satu gabungan untuk membentuk kerajaan.
Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan persoalan berkenaan definisi wakil rakyat melompat parti sekiranya mereka dipecat atau meninggalkan parti kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan parti. – UTUSAN










