Buli: Doktor pakar terlibat

Buli: Doktor pakar terlibat

KHAIRY Jamaluddin meraikan sambutan Hari Jururawat Antarabangsa di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Ke­sihatan mendedahkan doktor pa­­­­­­­­kar antara lima pegawai perubatan yang didakwa terlibat dalam kes buli di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, beliau sudah melihat senarai nama berkenaan dan kes tersebut akan disiasat oleh sebuah pasukan khas bebas di bawah Unit Integriti kementerian itu.

“Apa yang kita lihat sekarang ialah aduan dibuat. Ada nama telah dihantar kepada saya ialah peringkat pakar. Bukan senang kita pindahkan, jadi buat masa ini semua bertugas seperti bia­sa, cuma siasatan berjalan,” ka­tanya ketika ditemui pada sambutan Hari Jururawat Antarabangsa di sini semalam.

Dalam pada itu, Khairy berkata, siasatan berhubung tuduhan itu dijalankan oleh Unit Integriti Kementerian Kesihatan dan pa­sukan petugas khas bebas yang akan diumumkan kelak.

“Unit integriti kita iaitu siasatan tatatertib biasa dan setelah siasatan dibuat secara sepenuhnya, maka laporan akan diberi tentang tuduhan tersebut. Sekarang ini kita menerima ba­nyak aduan dan tuduhan, nama doktor dan pakar yang konon­nya atau yang dikatakan membuli doktor pelatih.

“Jadi untuk keadilan kepada semua pihak, ia mesti melalui proses telus yang akan dikemukakan kepada saya nanti. Itu adalah proses dalaman biasa kita laksanakan.

“Selain itu seperti saya umumkan sebelum ini, satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan dan mereka juga akan melihat aduan-aduan tersebut. Bukan saya mempengerusikannya (pasukan petugas khas) dan esok saya akan umumkan sebab ia melibatkan terma,” ujarnya.

Ditanya jangka masa siasatan, beliau berkata, kebiasaannya a­duan mengambil masa beberapa minggu kerana melibatkan tuduhan berat iaitu buli dan budaya kerja tidak profesional.

“Jadi akan melibatkan sesi temu bual dengan pengadu serta pakar yang telah dituduh sebagainya. Lebih baik kita beri sedikit masa supaya pasukan petugas ini dan unit integriti menjalankan siasatan dan kita akan tengok kedua-dua hasil siasatan tersebut sebelum tindakan diambil,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Khairy ber­kata, pihaknya mengambil serius semua tuduhan tersebut dan yang penting dapat menjalankan siasatan dengan adil dan telus untuk semua pihak.

“Rakyat nak lihat dan sudah pasti pihak doktor muda nak lihat apa tindakan diambil jika didapati betul ia berlaku. Memang saya buat pendirian untuk tidak banyak bercakap dan mengeluarkan kenyataan sebab ramai ada pandangan berbeza.

“Tuduhan kalau dibuat di media sosial… bukan saya meremehkan tuduhan ini tetapi apabila kita nak ambil tindakan, ia mestilah melalui siasatan yang betul serta tidak boleh media sosial sahaja.

“Walaupun saya anggap tu­duhan ini semua serius, sebagai menteri saya tak boleh ambil tindakan atas media sosial dan mesti melalui proses siasatan telus dan betul,” tegasnya.

Sebelum ini, seorang doktor pelatih HPP dilaporkan maut selepas terjatuh dari kediamannya dalam kejadian 17 April lalu.

Difahamkan, mangsa terjatuh dari tingkap bilik kediaman sewanya di aras 23, sebuah apartment di Jalan Dato Keramat, di sini.

Susulan kes berkenaan, KKM menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat kes kematian doktor pelatih itu dan pasukan bertindak tersebut juga berfungsi menyiasat budaya buli yang didakwa berlaku.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pemba­ngunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, lima doktor berkenaan tidak mempunyai kaitan de­ngan kes doktor pelatih HPP yang maut akibat terjatuh tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN