HANOI: Skuad berbasikal bukit (MTB) negara melakukan kejutan apabila berjaya menuai emas pertama dalam penyertaan mereka pada Sukan SEA bagi acara rentas desa Olimpik campuran, semalam.
Beraksi di venue yang terletak di Wilayah Hoa Binh kira-kira 100 kilometer dari bandar Hanoi, pasukan negara berjaya melengkapkan perlumbaan dengan catatan 1 jam 23 minit dan 14 saat sekali gus mengetepikan pencabar daripada tuan rumah, Vietnam.
Vietnam yang disertai Van Linh Dinh, Van Nhat Bui, Thi Nhu Quynh Dinh dan Thi Thom Ca menamatkan saingan dengan 1:23.48s untuk meraih perak manakala gangsa menjadi milik Thailand (Supuksorn Nuntana, Warinthorn Phetpraphan, Phunsiri Sirimongkhon, Keerati Sukprasart), 1:24.54s.
Lebih manis, emas diraih Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli, Natahsya Soon dan Nur Assyira Zainal Abidin ini hadir dalam penyertaan pertama skuad MTB dalam acara berkenaan di temasya dwi tahunan itu.
“Saya sangat gembira kerana dapat meraih pingat ini untuk Malaysia. Syukur Alhamdulillah kepada Allah kerana memberikan pingat emas ini dan juga terima kasih kepada semua,” kata Ahmad Syazrin yang pernah memenangi Kejohanan Kebangsaan dalam acara rentas desa Olimpik lelaki elit pada Mac tahun ini.
Ahmad Syazrin menggalas cabaran besar apabila menjadi selaku pelumba pertama.
“Cabaran itu, pastinya besar kerana saya adalah pelumba pertama pasukan. Pada ketika kilometer awal itu, ada jurang antara saya dan pelumba di kelompok depan.
Namun pada tiga kilometer akhir, saya dapat kejar dan dapat tempat kedua,” kata pelumba berusia 25 tahun itu.
Pingat emas diraih Ahmad Syazrin, Zulfikri, Natahsya dan Nur Assyira ini adalah yang pertama selepas Malaysia turut pernah melakar gangsa menerusi Masziyaton Mohd Radzi di Sukan SEA Laos 2009 dalam acara rentas desa wanita.
Sementara itu, skuad sepak takraw menghadiahkan pingat perak buat kontinjen negara menerusi acara antara regu selepas tewas kepada musuh tradisi Thailand di perlawanan akhir.
Selain itu, Malaysia turut meraih tiga pingat gangsa semalam menerusi sepak takraw antara regu wanita, petanque beregu campuran dan juga catur. – UTUSAN










