PETALING JAYA: Tidak keterlaluan jika dikatakan skuad futsal lelaki menjadi ‘lauk’ di saingan Sukan SEA Vietnam kali ini selepas mencatatkan tiga kekalahan dan satu seri di temasya sukan dwitahunan itu yang melabuhkan tirai hari ini.
Dalam aksi di Stadium Tertutup Ha Nam, Malaysia tewas kepada Thailand 2-6, tewas 1-7 kepada Vietnam, tewas kepada Indonesia 0-3 dan mencatatkan keputusan seri 4-4 ketika menentang Myanmar pada perlawanan terakhir kumpulan.
Keputusan berkenaan menyaksikan anak-anak buah ketua jurulatih futsal lelaki kebangsaan, Chiew Chun Yong berada di kedudukan tercorot bagi Sukan SEA 2021 ini yang mana acara futsal dijalankan secara format liga sepusingan.
Aksi longlai yang ditampilkan skuad futsal negara pada edisi Sukan SEA kali ini juga seolah-olah seperti ada sesuatu yang mengganggu tumpuan para pemain kerana mereka seperti tidak menunjukkan prestasi yang sebenar.
Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, para pemain tidak bersemangat kerana terdapat perubahan di saat-saat akhir yang dilakukan oleh pihak pengurusan sehingga menjejaskan ‘mood’ pasukan untuk ke temasya sukan berkenaan.
“Sebelum terbang ke Hanoi ada perubatan melibatkan pengurus pasukan, sebelum ini pemain futsal diuruskan oleh orang lain dan di Sukan SEA pula pengurus terdahulu ditukar. Situasi itu sekaligus merosakkan ‘mood’ pemain.
“Mereka (para pemain) mungkin, lebih selesa berurusan dengan pengurus lama. Jadi, bila ke Hanoi bersama pengurus lain suasana itu berbeza dan menjejaskan pemain. Itu mungkin salah satu faktor juga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, rombakan secara menyeluruh terhadap skuad futsal atau sebaliknya hanya akan ditentukan selepas analisis laporan dilakukan.
Tambahnya, FAM akan menganalisis laporan setiap perlawanan skuad futsal lelaki bagi mengenal pasti kelemahan serta kekurangan skuad negara semasa beraksi di Sukan SEA Vietnam.
“Terlalu awal untuk saya beritahu, kerana kita kena tunggu juga laporan supaya adil bagi pengurus pasukan, jurulatih dan pemain, untuk sama-sama kita duduk dan membincangkan (sekiranya terdapat kelemahan).
“Analisis ini bagi saya bukanlah suatu yang baharu, seperti mana yang saya maklumkan tadi, kita kena tunggu laporan yang akan dianalisis oleh unit teknikal yang diketuai oleh skuad ordinal,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia meraih pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, manakala ia tidak dipertandingkan pada edisi 2019 di Filipina. – UTUSAN










