AP beras kekal, jamin stok negara

AP beras kekal, jamin stok negara

Permit import beras masih dikekalkan demi menjamin keselamatan stok bekalan makanan ruji itu untuk penduduk negara ini . – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hanya empat jenis komoditi agromakanan dimansuhkan kelulusan permit (AP) mengimport kecuali beras.

Ia melibatkan kubis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan ayam dan ayam bulat) serta susu cair.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memaklumkan, bagaimanapun AP untuk pengimportan beras oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) masih lagi berkuat kuasa.

Sumber industri memberi­tahu, pengimportan beras dike­cualikan daripada pemansuhan AP bertujuan mengekalkan jum­lah pegangan stok beras negara kepada 200,000 tan metrik bernilai RM500 juta setiap masa.

Ia juga bagi memastikan ke­selamatan makanan negara dan bekalan mencukupi serta harga beras tidak terdedah kepada kenaikan walaupun harga me­ningkat di pasaran antarabangsa

Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk melanjutkan konsesi pengimportan beras kepada Bernas untuk tempoh 10 tahun akan datang selepas mengambil kira keperluan semasa.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dalam jawapan bertulis kepada Parlimen pada 3 November 2020 berkata, konsesi baharu itu mengan­dungi beberapa penambahan baharu dalam terma syarat selain mengambil kira bekalan keselamatan makanan ruji negara itu diberi keutamaan.

Sementara itu, menurut MAFI, keputusan pemansuhan AP itu diputuskan Jemaah Menteri seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin.

“Walaupun AP tidak lagi diperlukan untuk membawa masuk komoditi agromakanan daripada luar negara, pengimport masih perlu mempunyai Import Permit (IP) bagi tujuan kawalan biosekuriti di pintu-pintu masuk negara.

“Ini untuk memastikan ka­walan biosekuriti dan produk yang diimport adalah bebas dari­pada penyakit dan perosak serta diperoleh daripada loji yang diiktiraf kerajaan,” kata­nya dalam kenyataan, semalam.

Kelmarin, Perdana Men­teri mengumumkan keputusan ke­­rajaan memansuhkan ke­perluan AP terhadap bahan makanan, berkuat kuasa serta-merta se­bagai langkah drastik menjamin keselamatan dan bekalan makanan di negara ini.

Dengan pemansuhan keperluan permit itu, ia bermakna sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini, berbanding kemestian AP.

Dalam pada itu, MAFI berkata, dengan pemansuhan AP, semua syarikat dibenarkan mengimport semua komoditi agro makanan tertakluk kepada IP yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Katanya, ia berserta syarat-syarat yang tertulis dalam permit selaras dengan subsek­syen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuaran­tin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan juga akta serta peraturan lain yang berkuat kuasa.

“MAFI akan terus memainkan peranan penting bagi me­mastikan kelangsungan sektor agromakanan di setiap pe­ringkat rantaian makanan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi, selamat dimakan serta berkhasiat.

“Pada masa sama, kebajikan pengeluar makanan tempatan juga akan terus dipelihara,” katanya.

MAFI berharap dengan ke­putusan kerajaan ini bekalan makanan dan sekuriti makanan negara akan terus kekal terjamin bagi kesejahte­raan Keluarga Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN