ARAU: Datuk Seri Saifuddin Nasution dilihat mempunyai kelebihan dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR berbanding pencabarnya, Rafizi Ramli pada pemilihan parti itu Mei ini.
Berbanding Rafizi, Setiausaha Agung PKR itu juga dilihat lebih mendapat ‘restu’ Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menjawat jawatan nombor dua parti tersebut.
Malah, Presiden PKR itu juga dilihat lebih selesa bekerjasama dengan Saifuddin yang sentiasa berada di belakang beliau dalam keadaan susah dan senang khususnya ketika parti itu berdepan perpecahan besar ekoran Langkah Sheraton sehingga kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan memerintah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, di mata akar umbi, sumbangan Saifuddin dalam kerja-kerja parti lebih besar sekali gus memberi kelebihan kepada beliau.
Katanya, kekuatan Rafizi pula tertumpu kepada golongan muda, namun, belum cukup kuat untuk berdepan Saifuddin dalam pemilihan kali ini.
Bagaimanapun katanya, dalam jangka masa panjang, bekas Naib Presiden PKR itu mempunyai masa depan yang cerah dalam parti dengan syarat beliau tidak merajuk sekiranya tewas.
“Tindakan Rafizi bercuti di saat parti berada dalam kesusahan sebelum ini sememangnya bakal memberi kesan kepada pemilihan nanti. Ramai penyokongnya dikatakan masih kecewa dengan tindakan Rafizi bercuti di saat parti memerlukan ketika itu.
“Kalau dilihat, mereka yang pro-Anwar mungkin menyokong Saifuddin dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden itu. Rafizi masih mempunyai masa depan yang cerah di dalam parti dan perlu melakukan kerja-kerja parti seperti biasa andai kata tewas dalam pemilihan itu,” katanya.
Pada pemilihan lalu, Rafizi tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi merebut jawatan
Timbalan Presiden namun beliau kemudian dilantik sebagai Naib Presiden dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi sesi 2018-2021.
Rafizi bagaimanapun telah mengambil keputusan untuk merehatkan diri daripada gelanggang politik pada awal 2019.
Namun baru-baru ini, Rafizi kembali muncul setelah berehat daripada dunia politik dua tahun lalu seterusnya mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.
Sementara itu, Muhammad Izmer berpandangan, pemilihan PKR kali ini tidak akan mengundang perpecahan dalaman yang serius sebagaimana pemilihan sebelum ini.
“Situasi sebelum ini sangat berbeza kerana Azmin mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam PKR ketika itu. Dalam pemilihan parti (PKR) kali ini, dijangka tidak berlaku perpecahan besar-besaran,” katanya. – UTUSAN










