Tiga penyelam hilang tiada lampu, sukarkan penemuan waktu malam - Utusan Malaysia

Tiga penyelam hilang tiada lampu, sukarkan penemuan waktu malam

OPERASI mencari baki tiga lagi penyelam yang hilang disambung pagi ini sehingga mencapai keluasan 335.79 batu nautika persegi bagi pencarian sektor laut di Mersing, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Tiga penyelam warga asing yang masih hilang selepas melakukan aktiviti menyelam di Pulau Tokong Sanggol, di sini dipercayai tidak mempunyai lampu sekali gus menyukarkan lagi penemuan terutama pada waktu malam. 

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, faktor itu menyebabkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pukul 6.30 petang di samping keadaan cuaca yang menyebabkan penglihatan terhad. 

“Berdasarkan maklumat daripada penyelam yang terselamat, Kristine Grodem, mereka tidak mempunyai lampu atau pun ‘beacon light’, oleh itu kemungkinan untuk kita lihat pada waktu malam agak rendah.

“Bagaimanapun, kita memang ada aset sepanjang masa di tengah laut di sekitar perairan Mersing yang akan terus membantu operasi dan menyelamat secara berterusan, malah fokus pencarian juga akan dilakukan melalui teknik selaman,” katanya di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini.

Semalam, Kristine, 35, yang juga jurulatih kepada tiga mangsa berkenaan ditemukan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand.

Usaha untuk mencari baki tiga lagi mangsa iaitu Alexia Alexandra 18, warga Perancis; Adrian Peter, 46, warga British dan anaknya, Nathen Renze, 14, warga Belanda disambung pagi ini. 

SAR berkenaan melibatkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Gerup Gerak Khas (GGK) Kem Iskandar Mersing, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Perikanan.

Sementara itu, Khairul Nizam berkata, operasi yang memasuki hari ketiga pencarian mangsa itu dimulai sejak awal pagi ini dengan sebuah pesawat Maritim Malaysia digerakkan sejak pukul 6.30 pagi tadi.

“Operasi hari ini juga diteruskan bermula pukul 3 pagi melibatkan aset bot maritim Perkasa 31, lima bot GGK dan polis marin digerakkan ke lokasi pencarian di bahagian selatan di perairan Sedili dengan keluasan sektor pencarian aset laut kira kira 335.79 batu nautika persegi.

“Sementara sektor pencarian udara seluas 739.64 batu nautika persegi melibatkan empat aset udara,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN