Terpaksa caj potong ayam untuk dapat untung - Utusan Malaysia

Terpaksa caj potong ayam untuk dapat untung

RAHMAD yang berniaga di sebuah pasar basah di Alor Gajah, Melaka terpaksa mengenakan caj 50 sen kepada para pelanggannya bagi khidmat pemotongan ayam. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang peniaga di sebuah pasar basah di sini terpaksa mengenakan caj 50 sen kepada para pelanggannya bagi khidmat pemotongan ayam, selepas margin keuntungannya merosot.

Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Rahmad, 55, berkata, sebelum ini, dia tidak mengenakan caj, namun terpaksa berbuat demikian selepas buntu memikirkan kos seekor ayam yang semakin mahal.

Menurutnya, keuntungan yang diperoleh rata-rata peniaga ayam segar di Melaka kini tidak sampai RM1 seekor.

“Caj khidmat pemotongan ayam dikenakan demi kelangsungan perniagaan. Jika tidak mengambil inisiatif ini, bagaimana saya hendak bertahan kerana pelbagai belanja perlu dibayar seperti sewa, gaji pekerja dan utiliti.

“Saya beli ayam hidup daripada pemborong pada harga RM6.05 sekilogram, tidak termasuk kos pengangkutan 70 sen. Ayam hidup kemudiannya perlu melalui proses tambahan sebelum dijual kepada pelanggan.

“Selain itu, pemborong juga licik apabila mereka menunjukkan harga ayam hidup sama seperti harga siling di dalam resit, tetapi memindahkan kos itu kepada caj pengangkutan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Dalam perkembangan lain, tinjauan akhbar ini di beberapa pasar awam di negeri ini mendapati, bekalan barangan basah seperti ayam dan ikan masih mencukupi dan tiada lonjakan harga sempena Ramadan.

Seorang peniaga, Ilhamdin Abu Karim, 23, berkata, Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak banyak memberi kesan kepada bekalan mahupun harga, dan situasi itu berbeza dengan sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Katanya, jika ada kenaikan harga sekalipun, ia hanya melibatkan spesis-spesis tertentu seperti tenggiri kerana mendapat permintaan tinggi pelanggan.

“Bekalan ikan macam biasa dan harga daripada pemborong juga tidak menentu. Setiap hari harganya berubah tetapi tidaklah terlalu tinggi sehingga membebankan penjual,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya