PETALING JAYA: Negara masih memerlukan kira-kira sejuta tenaga pekerja asing bagi menampung kekosongan dalam pelbagai sektor kritikal yang perlu diisi segera antaranya perladangan, pembinaan dan pembuatan selain perkhidmatan seperti perhotelan.
Kekurangan tenaga kerja yang disifatkan tenat itu seolah-olah masih belum ada jalan penyelesaian walaupun permohonan mengenainya dibuka kerajaan sejak 28 Januari lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Datuk Foo Yong Hooi berkata, gerak kerja kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia ketika ini juga terlalu perlahan dan seperti tidak sensitif dalam menyelesaikan keadaan kekurangan tenaga kerja itu.
Menurutnya, meskipun permohonan pekerja asing bagi kuota sektor perladangan secara pengecualian khas dibuka pada 28 Januari lalu dan permohonan sektor-sektor lain dibenarkan pada 15 Februari, namun hasilnya belum dapat dilihat.
Sehubungan itu, katanya, gerak kerja yang terlalu perlahan itu tidak mampu menanggung keperluan dan membantu sektor memerlukan terutama dalam keadaan negara menuju pemulihan ekonomi.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita ada dua juta pekerja asing yang ada permit, tetapi sekarang tinggal 900,000 orang sahaja, jadi kita sudah kekurangan 1.1 juta pekerja.
“Semasa PKP tidak ada , tetapi, sekarang, kita sedang dalam pemulihan ekonomi yang semua sektor sedang dalam peralihan pemulihan yang memerlukan pekerja.
“Sebelum ini pun cakap buka untuk perladangan dahulu, tetapi sekarang sudah April masih belum selesai, apa lagi sektor kilang, pembinaan dan yang lain.
“Saya mahu kerajaan tahu bahawa semua sektor yang sedang menghadapi kekurangan tenaga kerja itu sudah sangat marah dengan kelewatan dan ketidaksensitifan kerajaan terhadap keperluan dan masalah yang dihadapi,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan tenaga kerja ketika ini meruncing apabila beberapa sektor dilaporkan berdepan kesulitan dan pertumbuhan yang dijangka lebih perlahan dalam peralihan ke fasa endemik.
Menurut Yong Hoi, kelewatan dan gerak kerja yang perlahan dari kerajaan juga dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya pengambilan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Kita risau kalau lambat sangat, maka pilihan terakhir mungkin akan ambil PATI. Sekarang pun sudah menjadi kecenderungan pancing pekerja asing daripada kilang orang lain untuk kelangsungan perniagaan mereka, maka PATI pun mungkin boleh menjadi pilihan,” katanya.
Jelas beliau, satu kaedah fast track perlu diwujudkan dalam bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pekerja asing dalam masa terdekat.
Katanya, satu jawatan kuasa khas bertindak dilantik oleh Kabinet Malaysia juga perlu dilaksanakan bagi mengambil maklum terutamanya keperluan mendesak syarikat terlibat. – UTUSAN










