Saya memang ‘cai’ Rafizi – Nik Nazmi

Saya memang ‘cai’ Rafizi – Nik Nazmi

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Setia­usaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui beliau memang berada dalam satu kumpulan yang sama dengan Rafizi Ramli pada pemilihan parti itu bulan depan.

Menurutnya, beliau mahu bersama Rafizi yang bertan­ding jawatan Timbalan Presiden PKR yang kini dilihat semakin diterima masyarakat berikutan persepsi umum yang ingin melihat perubahan dalam kepimpinan parti hari ini.

Katanya, beliau memerlukan seorang pemimpin yang sea­liran dengannya bagi memudahkan gerak kerja untuk menentukan hala tuju parti.

“Saya memang dalam barisan Rafizi, saya tidak sorok untuk isytiharkan dan beliau juga berkempen untuk saya.

“Tetapi, bagi saya, ini tidak menjadi kesalahan kerana kita lebih kepada mencari kepimpinan yang sealiran dengan kita. Perkara ini, dalam mana-mana politik pun ada,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa, semalam.

Tambah beliau, perbezaan pendapat antara Rafizi dan pencabarnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution khususnya berhubung isu ‘khemah besar’ dan peluang Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah persaingan sihat dalam keluarga PKR, sekali gus menafikan keretakan berikutan percanggahan yang berlaku.

“Pada saya, Rafizi sudah memberi pandangan yang realis supaya berpijak di bumi nyata untuk membina semula parti, begitu juga dengan komen Nurul Izzah Anwar yang menyatakan beliau tidak merasakan kita mampu untuk menang walaupun tiada yang mustahil jika menang. Tetapi, kalau tidak buat perubahan dari segi pendekatannya, ia agak sukar.

“Kalau dulu kita ada masa dua ke tiga tahun untuk membina kekuatan, sekarang masanya agak suntuk. Kalau pada 2018 kita mampu peroleh 47 kerusi untuk PKR, kali ini kalau kita masih boleh kekalkan 30 ke 40 kerusi, itu satu ‘base’ yang baik. Tetapi kalau dapat hanya 10 kerusi, itu menakutkan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Nik Nazmi turut mengingatkan usaha mewujudkan ‘khemah besar’ dengan parti pembangkang lain hanya akan menyebabkan parti itu hilang jati diri.

“Patutnya PH menjadi pesaing utama kepada UMNO sebab kita parti berbilang bangsa, tetapi kenapa PH pula yang menduduki tempat ketiga pada PRN Johor selepas UMNO dan Perikatan Nasional (PN) dapat tempat pertama dan kedua?,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN