SHAH ALAM: Jumlah sampah domestik terutama sisa makanan di Selangor mencatatkan peningkatan sebanyak 25 peratus sepanjang Ramadan kali ini.
Statistik itu direkodkan KDEB Waste Management (KDEBWM) menerusi hasil kutipan harian yang dijalankan sehingga semalam.
Pengarah Urusannya, Ramli Mohd. Tahir berkata, peningkatan itu berlaku selepas kerajaan memberi kelonggaran operasi Bazar Ramadan dan kedai makan.
Katanya, kutipan sampah domestik secara puratanya dianggarkan 6,000 hingga 8,000 tan sehari pada bulan biasa.
“Namun, hasil pemerhatian kita bulan ini mendapati jumlah itu meningkat sehingga 25 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Sebahagian besar sampah itu juga merupakan sisa makanan yang dibuang orang awam termasuk peniaga,” katanya pada majlis Iftar KDEBWM Bersama Media di sini, semalam.
Jelas Ramli, orang ramai dinasihatkan mengelak pembaziran dengan tidak sewenang-wenangnya membuang makanan ketika Ramadan ini.
“Selain sisa, pekerja pembersihan kita mendapati ada makanan yang dibuang itu langsung tidak diusik dan ia amat menyedihkan.
“Kita seharusnya sentiasa mengawal nafsu untuk berbelanja terutama ketika membeli makanan di Bazar Ramadan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan kutipan sampah domestik menurun sebanyak 30 peratus ketika cuti Aidilfitri nanti.
“Ia berikutan faktor penduduk yang kebanyakannya pulang ke kampung halaman masing-masing di luar Selangor dan menjangkakan jumlah sampah pada minggu awal lebaran mungkin menurun kepada 5,000 tan sampah sehari,” jelasnya.
Namun, Ramli berkata, pihaknya akan kekal menjalankan operasi rutin kutipan harian terutama di kawasan kediaman atau perumahan penduduk di seluruh negeri ini. –UTUSAN ONLINE










