IPOH: Dua lelaki yang tertimbus dalam runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai di sini pada bulan lalu akan diisytihar meninggal dunia supaya keluarga mangsa boleh mendapat bantuan dan juga pampasan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya kini dalam proses melengkapkan siasatan kejadian itu untuk diserahkan kepada Mahkamah Koroner.
“Kertas siasatan tersebut dimajukan kepada pihak berkenaan dengan cadangan dua mangsa terbabit diisytiharkan meninggal dunia.
“Setakat ini, kita klasifikasi kes sebagai mati mengejut (SDR). Semua tahu yang mangsa sudah meninggal dunia cuma mayat kedua-duanya sahaja belum dijumpai.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Daerah Ipoh supaya melengkapkan siasatan untuk kita bawa kertas siasatan itu kepada Mahkamah Koroner dengan cadangan kedua-dua mangsa diisytiharkan meninggal dunia dan sijil kematian dapat dikeluarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Op Selamat 18 dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini semalam.
Menurutnya, usaha mencari mangsa masih diteruskan agensi berkaitan meskipun operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan hampir dua bulan.
“Setiap hari dijalankan siri letupan oleh agensi terlibat di kawasan berkenaan di bawah pemantauan polis. Setakat ini, usaha itu masih belum membuahkan hasil.
“Kita akan berbincang dengan agensi yang terlibat dalam operasi ini menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah selepas raya nanti bagi melihat pandangan mereka mengenai usaha mencari mangsa.
“Jika keputusan masih tidak dapat dibuat, kita akan angkat kes ini ke Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
“Isu ini sensitif kepada keluarga mangsa jadi ia memerlukan penyelesaian atau keputusan tepat sama ada teruskan atau tidak usaha pencarian itu,” katanya.
Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN










