PETALING JAYA: Beberapa kawasan di Semenanjung dan Sarawak dijangka berdepan ribut petir serta hujan lebat sehingga pukul 4 petang ini.
Amaran itu dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter (mm) sejam atau lebih.
Kawasan dijangka terjejas meliputi Bentong di Pahang; Hulu Langat di Selangor serta beberapa daerah di Negeri Sembilan iaitu Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau.
Di Sarawak, kawasan yang terlibat termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Daro di Mukah.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook. – UTUSAN










