KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Victor Chin Boon Loong antara 10 individu yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti jenayah pengubahan wang haram menerusi Op Viking bermula 15 Oktober tahun lalu hingga 13 Januari lalu.
Ketua Pasukan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Fazlisyam Abd Majid berkata, ahli perniagaan terbabit ditahan pada Disember lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menolak kemungkinan sekiranya Victor akan dipanggil lagi namun bergantung kepada keadaan.
“Ia terpulang kepada keterangan baharu yang kita dapat dan memerlukan penjelasan lanjut, kita akan panggil semula mengikut prosedur biasa.
“Sembilan lahi individu lain yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dalam siasatan Op Viking dengan kesemua mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, setakat ini, seramai 40 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, Op Viking dilaksanakan pada 14 Oktober tahun lalu itu berdasarkan hasil maklumat dan risikan aktiviti jenayah pengubahan wang haram yang berlaku sejak 2018.
“Kita membuka satu kertas siasatan dibuka pada 25 Oktober lalu mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
“Kes ini melibatkan beberapa individu yang kita syaki melakukan jenayah pengubahan wang haram dengan pelbagai cara antaranya membeli atau memiliki syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia syarikat persendirian,” katanya.
Fazlisyam berkata, beberapa tindakan pembekuan dan penyitaan aset membabitkan lapan hartanah, 32 kenderaan, 1,100 unit saham dimiliki dua syarikat sendirian berhad, akaun CDS (saham) RM323.59 juta, akaun trading RM64.246 juta dan 404 akaun bank berjumlah RM85.624 juta.
Selain itu, sembilan buah kereta, tiga buah motosikal, empat unit jam tangan, dua unit barang kemas, empat beg berjenama dan wang tunai pelbagai mata wang asing turut disita.
“Siasatan masih diteruskan dan dijalankan secara menyeluruh serta tegas terhadap mana-mana pihak yang disyaki terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menyimpan, memindah, menggunakan atau membawa masuk serta keluar wang yang berasal daripada aktiviti haram yang melanggar undang-undang.
“Siasatan dijalankan adalah mengikut fakta dan keterangan diperolehi, semua tindakan yang dilaksanakan mengikut undang-undang dan prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 27B dan Seksyen 29 B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 176 Akta Pasaran Modan dan Perkhidmatan 2007 dan Seksyen 221 Akta Syarikat 2016.
Pada 16 Mac lalu, polis mengesahkan telah menyerbu beberapa premis milik Victor Chin yang didakwa terbabit dalam manipulasi korporat berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).- UTUSAN










