Mafia korporat: 41 individu telah dipanggil beri keterangan

Mafia korporat: 41 individu telah dipanggil beri keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 41 individu telah memberi keterangan berhubung dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’, namun tiada pegawai SPRM atau kepemimpinan kanan yang dipanggil sejak siasatan dijalankan Oktober lalu.

Ketua Pasukan Siasatan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fazlisyam Abdul Majid berkata, tiada pembabitan pegawai SPRM dalam dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ yang dikaitkan dengan ahli perniagaan, Victor Chin Boon Loong.

Katanya, mereka yang dipanggil termasuk Victor Chin dan sembilan individu yang ditahan sebelum ini.

“Selepas ini akan ada lagi saksi-saksi akan dipanggil memberi kerjasama dalam membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, setakat ini jumlah pembekuan aset dan sitaan membabitkan Victor Chin adalah masih sama seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

PDRM menerusi Op Viking pada 14 Oktober tahun lalu dilaksanakan berdasarkan maklumat dan risikan aktiviti pengubahan wang haram sejak 2018.

Satu kertas siasatan dibuka pada 25 Oktober 2025 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Kes ini melibatkan beberapa individu yang disyaki melakukan jenayah pengubahan wang haram dengan pelbagai cara antaranya membeli atau memiliki syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat persendirian.

Menerusi operasi itu, polis membeku dan menyita pelbagai aset termasuk lapan hartanah, 32 kenderaan dan 1,100 unit saham milik dua syarikat sendirian berhad, akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) bernilai RM323,588,293, akaun dagangan (RM64,246,417) dan 404 akaun bank berjumlah RM85,624,528. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN