KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga tahun, esok, perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram berjumlah RM232.5 juta akan bermula.
Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin merupakan Perdana Menteri kedua yang didakwa di mahkamah.
Perbicaraan kes akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Nur Ruwena Md. Nurdin.
Hakim itu sebelum ini menetapkan 29 hari untuk perbicaraan kes berkenaan.
Tarikh-tarikh terlibat ialah 9, 10 dan 11 Mac, 13,16,28 dan 29 April, 25 dan 26 Mei, 6 hingga 10, 13 hingga 17 dan 27 hingga 29 Julai serta 7, 18, 19, 20, 21, 26 dan 27 Ogos ini.
Kes itu pada awalnya ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamab Sesyen namun pada 16 Jun 2025, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Ahli Parlimen Pagoh itu untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan pada 10 Mac 2023.
Salah satu pertuduhan yang dikenakan terhadap Muhyiddin didakwa dilakukan antara hari pertama beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kelapan iaitu antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Pada 13 Mac 2023, beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan ketujuhnya.
Pada 15 Ogos 2023, Muhyiddin berjaya membatalkan empat tuduhan salah guna kedudukan selepas Mahkamah Tinggi di sini mendapati pertuduhan-pertuduhan itu kabur dan tidak berasas.
Bagaimanapun pada 28 Februari 2024, Mahkamah Rayuan memerintahkan pertuduhan itu ‘dihidupkan’ semula.
Bagi empat pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan, Muhyiddin,76, didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menyalahgunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232,500,000 bagi parti tersebut.
Suapan tersebut adalah daripada tiga buah syarikat serta seorang individu bernama Datuk Azman Yusoff.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya,
Sementara itu, bagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram, Muhyiddin yang juga bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik Bersatu.
Pihak pendakwaan sebelum ini memberitahu, mereka akan memanggil kira-kira 30 orang saksi termasuk bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. – UTUSAN










