Kes pengubahan wang haram bekas PTD, isteri dibicara bersama

Kes pengubahan wang haram bekas PTD, isteri dibicara bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan semua 11 pertuduhan pengubahan wang haram terhadap bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya didengar secara bersama.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat agar kes-kes yang difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Kuala Terengganu dipindahkan.

Mahadi membuat permohonan itu mengikut Seksyen 91 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 serta Seksyen 165 dan 170 Kanun Tatacara Jenayah.

“Ini kerana pertuduhan melibatkan saksi sama, set fakta yang sama, kesalahan asas yang berkaitan serta bagi menjimatkan masa mahkamah,” katanya.

Mahadi memaklumkan kepada mahkamah dokumen kes akan diserahkan kepada pihak pembelaan secara berperingkat.

Sepanjang prosiding, Hafizuddeain, 58, yang berdepan enam pertuduhan, dan isterinya Salwani Anuar @ Kamaruddin, 27, yang berdepan lima pertuduhan, dilihat tenang duduk bersebelahan di kandang tertuduh.

Peguam bela, Aizul Rohan Anuar dan Fahmi Abd Moin, masing-masing mewakili Hafizuddeain dan Salwani, tidak membantah permohonan tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes dan mengekalkan jaminan sebanyak RM250,000 bagi Hafizuddeain serta RM30,000 bagi Salwani.

Pada 22 Januari lalu, Hafizuddeain mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah melebihi RM2.1 juta.

Keesokan harinya di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Hafizuddeain sekali lagi mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan melibatkan amaun RM115,000 antara 19 September 2024 dan 28 November tahun sama, serta RM30,000 pada 19 Mei tahun lalu.

Sementara itu, Salwani mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000 sebagai pengawal syarikat Wany Venture.

Wanita itu turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan menerima RM5,000 yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya di sebuah cawangan bank di Kerteh, di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, 26 Januari lalu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN