Pendeposit Tabung Haji kini jadi sasaran scammer - Utusan Malaysia

Pendeposit Tabung Haji kini jadi sasaran scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendeposit Tabung Haji (TH) kini menjadi sasaran baharu sindiket Macau Scam untuk menipu selepas golongan profesional termasuk doktor, guru dan jururawat menjadi mangsa mereka

Lebih menyedihkan, wang simpanan milik mangsa yang kebanyakannya warga emas dan pesara hilang begitu sahaja.

Modus operandi tersebut mulai dikesan sejak Januari lalu apabila sebanyak 65 pendeposit TH menjadi mangsa penipuan itu yang melibatkan jumlah kerugian RM3.6 juta.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, sindiket tersebut akan menghubungi mangsa memaklumkan akaun bank mereka bakal dibekukan kerana terbabit kes jenayah.

Selepas itu, katanya, sindiket akan meminta mangsa membuka sebuah lagi akaun lain di bank sama sebelum menyerahkan satu nombor telefon untuk diletakkan di dalam maklumat akaun berkenaan.

“Mereka akan meyakinkan mangsa bahawa nombor berkenaan adalah nombor aduan membabitkan kes yang sedang disiasat walhal nombor tersebut adalah milik sindiket.

“Sebaik sahaja wang simpanan mereka dipindahkan ke dalam akaun baharu, sindiket mula mengambil kesempatan menggunakan nombor pengesahan transaksi (OTP) yang dihantar ke nombor telefon yang diberikan untuk mengeluarkan semua wang tersebut.

“Bukan itu sahaja, wang mereka yang disimpan di dalam akaun berkenaan dan dihubungkan dengan akaun Tabung Haji turut lesap,” katanya ketika ditemui di Menara KPJ, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu Victor berkata, trend penipuan Macau Scam meningkat setiap tahun apabila sebanyak 20,340 kes direkodkan dalam tempoh empat tahun sejak 2019 sehingga Mac lalu.

Lebih menghampakan, akibat terpedaya dengan sindiket penipuan tersebut, mereka mengalami kerugian sebanyak RM814.71 juta dalam tempoh sama.

“Daripada jumlah itu, kes tertinggi dicatatkan adalah pada tahun lalu iaitu sebanyak 6,358 manga melibatkan kerugian wang bernilai RM198.36 juta diikuti 2020 (6,007 kes dengan RM289.18 juta) serta 2019 (5,736 kes dengan RM255.01 juta).

“Bagi tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 2,239 kes dilaporkan dengan kerugian RM72.15 juta,” jelasnya.

Dalam pada itu, jelas Victor, antara faktor utama yang menyebabkan mangsa mudah tertipu adalah kerana panik dan takut selepas diugut akan dikenakan tindakan terhadap mereka.

Kata beliau, disebabkan bimbang akaun akan dibekukan, mereka sanggup mengikut kemahuan sindiket berkenaan asalkan wang simpanan selamat.

“Kebanyakan kes yang dilaporkan gagal mendapatkan semula wang mangsa memandangkan hanya disedari selepas beberapa hari simpanan mereka lesap,” katanya.

Kata Victor, pihaknya telah mengambil beberapa langkah pendekatan dengan menubuhkan ‘CCID Scam Response Centre’ bagi menyekat sebarang transaksi dilakukan ke dalam akaun milik sindiket.

“Orang ramai juga boleh melakukan semakan nombor telefon dan akaun bank yang diberikan mana-mana individu sebelum melakukan sebarang pemindahan wang atau transaksi,” katanya.

TH juga sering menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah waspada kerana agensi itu tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal berkaitan tawaran haji dan pakej haji atau sebarang urusan berkaitan dengannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN