SEREMBAN: Pemandu teksi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan seorang individu bagi maksud eksploitasi untuk meminta sedekah di tempat awam, tahun lalu.
Tertuduh, Nurul Hidayah Md Nor, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.
Dia yang bekerja sebagai pemandu teksi didakwa memperdagangkan seorang lelaki berusia 27 tahun yang bukan merupakan seorang kanak-kanak bagi maksud eksplotasi yang menyalahi undang-undang iaitu Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).
Tertuduh telah menyuruh lelaki tersebut meminta sedekah di tempat awam sedangkan dia mampu mempunyai mata pencarian yang lain.
Kesalahan itu dilakukan di sekitar Seremban dan Senawang antara Mei 2021 hingga 7 November 2021.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga didenda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, peguam M. Haresh yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum antara RM5,000 hingga RM8,000 dikenakan ke atas anak guamnya yang bekerja sebagai pemandu teksi.
“Tertuduh masih bujang dan kini menjaga ayahnya yang sedang sakit, dia mempunyai pendapatan antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan dan tinggal di Panchor.
“Sepanjang siasatan tertuduh telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis dan telah direman 11 hari,” katanya.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Kes akan disebut semula 24 Mei ini. – UTUSAN










