Lepasan SPM pilih berniaga, p-hailing, kerja kilang - Utusan Malaysia

Lepasan SPM pilih berniaga, p-hailing, kerja kilang

Tiga akta lapuk berkaitan pendidikan dan pekerjaan perlu diubah bagi menyelesaikan isu 480,000 buruh kanak-kanak yang bekerja seawal usia 15 tahun. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerana hilang minat untuk belajar, seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017, Al Muhaimin Mohamad Basir, 22, memilih untuk berniaga bagi menampung kehidupannya selepas tamat bersekolah.

Keputusan untuk berniaga itu diambil selepas  dia melakukan pelbagai kerja termasuk bekerja di restoran makanan segera.

Al Muhaimin berkata, dia kini lebih selesa bekerja sendiri dan ingin berdikari dalam mencari duit belanja.

“Saya lebih selesa dan ingin bekerja berbanding belajar kerana saya sudah tidak minat untuk menyambung pelajaran. Sekarang pun saya bekerja sebagai penjual pakaian terpakai, yang sudah masuk lima bulan.

“Sebelum saya kerja sebagai penjual pakaian, saya terpaksa melalui fasa pengangguran selama tujuh bulan. Malah, kerja saya sekarang ini adalah yang kelima selepas saya tamat sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Al Muhaimin antara 260,000 lepasan SPM setiap tahun yang tidak menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan sebahagian memilih untuk berniaga, bekerja kilang dan terlibat dalam gig ekonomi selain segelintir yang masih menganggur.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, lebih 400,000 pelajar menduduki peperiksaan awam itu dengan kira-kira 140,000 diterima memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada awam dan swasta.

Seorang pemuda berusia 19 yang juga lepasan SPM 2020 dan enggan dikenali pula meluahkan hasrat memilih untuk bekerja disebabkan masalah kewangan keluarganya ketika pandemik dua tahun dahulu.

“Sebenarnya saya nak juga sambung belajar, tetapi, macam-macam masalah yang saya hadapi dengan keluarga. Jadi saya tangguhkan angan-angan dahulu dan bekerja sebagai penghantar makanan.

“Walaupun kerja ini seperti tiada jaminan tetapi buat masa ini, kira berbaloi berbanding kerja lain yang boleh saya lakukan,” katanya.

Masalah sama turut dirasai oleh seorang pekerja kilang di Batu Pahat, Johor, Nur Anesa Rahman, 23, yang berkata, selepas tamat zaman persekolahan dan menjalani SPM pada 2016, dia memilih untuk terus ke alam pekerjaan kerana hilang minat untuk meneruskan pengajian.

“Hilang minat itu satu perkara, tetapi pada awalnya saya tak mahu membebankan keluarga untuk menampung kos pengajian saya dan setiap bulan kira-kira RM2,000 juga saya berjaya perolehi,” jelasnya.

Hilang tenaga mahir

Sementara itu, negara dijangka berdepan kekurangan atau kehilangan tenaga mahir sekiranya lepasan SPM yang gagal menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, tidak diberikan perhatian tentang status mereka.

Pemangku Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Fahami Ashrof Badaruddin berkata, lepasan SPM yang kurang cemerlang kurang mendapat pendedahan dan perhatian khusus terutamanya mengenai lanjutan pelajaran, sedangkan negara mempunyai banyak pusat kemahiran.

Justeru, katanya, setiap lepasan SPM terutamanya mereka yang tergolong dalam kategori Bukan dalam Pekerjaan, Pendidikan atau Latihan atau Not in Education, Employment, or Training (NEET) seharusnya sentiasa dikesan oleh Kementerian Pendidikan atau mana-mana kementerian yang bertanggungjawab tanpa mengira tahap kecemerlangan pelajar itu.

“Yang terpinggir kurang mendapat pendedahan tentang lanjutan pelajaran, jadi kita kehilangan generasi apabila mereka itu tak tahu ke mana.

“Mungkin lepasan SPM yang gagal itu ada kerja kampung dan terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah, tetapi kena ingat mereka yang gagal itu mungkin juga boleh diketengahkan ke tenaga mahir sekiranya diberi pendedahan.

“Jadi, setiap pelajar sudah ada pangkalan data, tetapi kenapa tak follow up mereka yang sudah tamatkan SPM? Walhal boleh hantar tinjauan atas talian bagi bertanyakan ke mana mereka pergi.

“Jika tiada, kita akan hilang generasi yang boleh diketengahkan kepada tenaga mahir dan ini berlaku dari tahun ke tahun, bukannya dua atau tiga tahun kebelakangan ini saja,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Fahami Ashrof, dengan adanya pengesanan mereka yang gagal lepasan SPM itu, agensi yang menawarkan pengajian kemahiran sudah tentu boleh memberi pendedahan, sekali gus mengelakkan kebergantungan kepada tenaga mahir kerja asing.

Malah, katanya, mereka juga boleh ditawarkan kursus kemahiran yang bersesuaian sekiranya pengesanan mendapati mereka itu terlibat dalam pasaran kerja, ini dapat membantu meningkatkan tahap dan mutu perkhidmatan mereka dalam pasaran kerja itu.

“Kita terlalu fokuskan akademik sehingga kita terlupa menghantar mereka yang gagal itu ke pusat kemahiran yang ada dan akhirnya kita terpaksa mengambil orang luar untuk mana-mana sektor tenaga kerja mahir, manakala warga Malaysia yang cemerlang akademik pula keluar berkhidmat di negara luar.

“Kita kena tahu yang anak-anak muda yang tidak cemerlang ini kebanyakannya berkemahiran apabila kita dapat lihat banyak pengubahsuaian dalam bidang permotoran dilakukan walaupun mereka tidak belajar perkara itu di peringkat yang terbaik.

“Jadi sepatutnya kita ambil peluang itu dan gunakan pusat dan agensi kemahiran sedia ada untuk bantu mereka bagi memberikan kursus kemahiran di jalan yang betul dan apabila mereka dapat sijil, maka boleh bekerja di peringkat lebih baik berbanding hanya ada kemahiran tanpa sijil,” katanya.

Jelas beliau, lepasan SPM yang gagal dikesan itu juga perlu ditangani segera bagi mengelakkan terus bergantung kepada tenaga kerja asing seperti mana yang berlaku ketika wabak Covid-19 melanda negara.

“Benda sebegini kena atasi segera sebab kita tak tahu wabak apa pula selepas ini yang akan datang sehingga menyebabkan kita perlu menutup pintu sempadan semula sekali lagi.

“Sebagai contoh apabila melalui fasa pandemik, pelbagai sektor terutamanya perladangan yang mengeluh soal ketiadaan pekerja, jadi ini hanya disebabkan kita tak beri perhatian kepada golongan lepasan SPM yang gagal, jadi kita hanya akan terus bergantung kepada orang luar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid juga mengakui ramai lagi anak muda yang masih tidak tahu menahu berkenaan inisiatif dan kursus yang ditawarkan oleh kerajaan ketika ini.

Justeru, katanya, hebahan berkenaan semua inisiatif yang telah kerajaan lancarkan perlu diperhebatkan dan dilaksanakan secara meluas.

“Ini juga akan mewujudkan satu one single landing page untuk semua inisiatif kerajaan berkenaan belia dan kerja. Banyak inisiatif menyebabkan kadang kala anak muda terkeliru.

“Namun, masalah kerja yang banyak kekosongan sedangkan masih ramai belia menganggur adalah disebabkan isu gaji yang tidak berpadanan dengan kerja.

“Gaji minimum yang bermula 1 Mei ini boleh dianggap menyelesaikan sedikit masalah, tetapi kerajaan masih belum umumkan industri mana yang dikecualikan, maka perlu disegerakan,” jelasnya.

Jenama semula sektor 3D

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, sektor pekerjaan ‘tidak glamor’ seperti 3D (kotor, bahaya dan susah) perlu dijenamakan semula bagi menarik minat belia tempatan menceburi bidang tersebut sekali gus mengatasi masalah ketiadaan buruh asing sehingga 200,000 dalam sektor itu.

Sektor 3D ialah pekerja pembersihan, ladang dan pelayan restoran yang sebelum ini banyak bergantung kepada warga asing. Kekurangan berlaku selepas mereka terpaksa pulang ke negara asal masing-masing ketika virus Covid-19 melanda pada 2020.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, langkah penjenamaan sektor 3D bukan sahaja membabitkan nama pekerjaan semata-mata namun melibatkan aspek kemahiran dan tugasan supaya gaji yang bakal ditawarkan setimpal dengan kualiti penyampaian.

Menurut beliau, jika cadangan berkenaan berlaku maka sektor 3D yang sebelum ini ‘tidak glamor’ setanding dengan kerjaya ekonomi gig yang sedang menarik minat anak muda.

“Walaupun ekonomi gig tidak menjamin prospek masa depan namun menjanjikan pendapatan lumayan selain kerja tersebut tidak terlalu mengikat individu berkenaan.

“Contoh iaitu tukang cuci. Namanya perlu dijenamakan kepada pegawai kualiti pembersihan manakala tugas pula tidak terhad kepada membersihkan bangunan sebaliknya merangkumi penyelenggaraan dan akhirnya layak mendapat gaji lebih tinggi.

“Jadi mereka tidak segan bekerja kerana selama ini menyifatkan kerja sebegini tidak sesuai dengan mereka. Jadi majikan kena ubah persepsi ini agar menarik belia untuk bekerja. Anak muda kita bukan tidak mahu bekerja, tetapi merasakan tanggapan pekerjaan itu. Jadi sudah masanya perkara diubah dengan lakukan rebranding,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, pekerjaan yang dikatakan tidak glamor perlu diberikan pengiktirafan setanding profesional lain dengan memberikan sijil penghargaan kepada pekerja supaya ian boleh digunakan untuk memohon pekerjaan lain.

“Kalau seseorang itu sudah lama berkhidmat sebagai pekerja penyelenggaran, mereka perlu diberikan sijil pengiktirafan agar dilihat setanding kelulusan kursus kemahiran. Jadi dia boleh gunakan untuk memohon pekerjaan lain,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, gaji rendah dan peluang ekonomi gigi terbuka luas turut menjadi punca belia tidak minat bekerja ‘makan gaji’ meskipun wujud banyak kekosongan ekoran pembukaan ekonomi fasa peralihan endemik Covid-19 ketika ini.

Beliau sekali lagi mengulangi pendirian MTUC iaitu kerajaan digesa untuk mewujudkan satu akta bagi mewajibkan majikan memberi kenaikan gaji tahunan berdasarkan prestasi masing-masing sekali gus memberi ruang kepada tambahan daripada nilai minimum RM1,500.

“Kita akui pelaksanaan gaji minimum bermula 1 Mei dilihat mampu mengangkat martabat pekerja, tetapi belum mampu untuk menarik rakyat untuk bekerja sekiranya kadar itu hanya statik selama-lamanya.

“Jadi kerajaan perlu mewujudkan satu akta untuk mewajibkan majikan memberi kenaikan gaji tahunan berdasarkan prestasi masing-masing sekali gus memberi ruang kepada tambahan daripada nilai minimum RM1,500,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN