Langgar protokol sembelih benar

Langgar protokol sembelih benar

LAPORAN muka depan Utusan Malaysia mengenai pemberian status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas pe­kerja sebuah rumah penyembelihan di Australia mengesahkan dakwa­an ser­­ta bukti rakaman video cara sembelihan haiwan di situ me­langgar protokol adalah benar.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, dia yang enggan namanya didedahkan berkata, rumah itu sepatutnya hanya melaksanakan kerja penyembelihan kira-kira 4,000 ekor haiwan sehari mengikut kapasiti loji yang mempunyai tiga petugas untuk melakukannya, namun diarah mempro­ses sehingga 6,500 ekor sehari demi mengejar keuntungan.

“Segala bukti yang didedah berhubung ketidakpatuhan halal sebuah rumah sembelihan di Australia sahih, saya saksi de­ngan ‘mata ke­pala’ sendiri.

“Bayangkan dengan kapasiti melebihi yang ditetapkan, hanya tiga pekerja tukang sembelih melakukan tugas yang diragui status keislamannya.

“Pihak penyelia pula tidak mengamalkan ajaran Islam yang betul, tidak solat, tidak puasa malah minum arak. Jadi bagaimana kita boleh percaya dan bergantung kepada pemantauan orang sebegini,” dakwanya dalam satu sesi temu bual melalui persidangan video di sini semalam.

Sumber terbabit yang pernah menjalankan operasi penyembelihan di situ mendakwa, sebelum bertindak mendedahkan salah laku itu, dia secara konsisten membuat aduan dan membangkitkan perkara tersebut kepada wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australian Inc. (SICHMA), namun tidak diambil peduli.

Menurutnya, kesalahan itu disedari sejak Januari tahun lalu apabila prosedur haiwan disembelih tidak mengikut pro­tokol halal ditetapkan apabila haiwan mati akibat dilemaskan dalam darah terkumpul dengan ketebalan kira-kira 80 sentimeter.

Lebih mengejutkan, katanya, rumah sembelihan itu sepatutnya boleh melaksanakan kerja-kerja penyembelihan haiwan kira-kira 4,000 ekor sehari mengikut kapasiti lojinya, namun mereka memproses sehingga 6,500 sehari demi mengejar keuntungan.

Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan, terdapat rumah penyembelihan kambing biri-biri di Australia yang mendapat pengiktirafan Malaysia dan Si­ngapura didapati melanggar protokol sembelihan halal.

Menurut laporan yang disokong saksi, kambing biri-biri dilemaskan dalam darah yang terkumpul daripada haiwan yang disembelih sebe­lumnya dan bukannya kerana haiwan itu disembelih sebagaimana syarat yang diperlukan dalam keperluan penyembelihan halal.

Dalam pada itu, bekas pekerja rumah penyembelihan tersebut berkata, ekoran pendedahan itu, dia menerima ugutan untuk tidak lagi bertindak sedemikian, namun tidak mematahkan semangatnya agar masyarakat Islam tidak ditipu dengan kegiatan sedemikian.

Dia turut mendakwa, setiap kali pelaksanaan audit dan pemeriksaan mahu dilakukan oleh Jakim dan SICHMA, rumah penyembelihan itu dimaklumkan lebih awal supaya segala bukti ketidakpatuhan dapat dibersihkan terlebih dahulu.

Katanya, sandaran sepenuhnya kepada pegawai yang menjalankan audit berkala ke atas rumah sembelihan berkenaan juga menimbulkan keraguan apabila didakwa memberi pengesahan ia mematuhi peraturan ditetapkan.

“Bukan hanya isu tidak me­ngikut protokol sembelihan halal, malah segala operasi adalah tidak bersih dan boleh menyebabkan penyakit.

“Saya melakukan ini demi kebaikan umat Islam dan ia perlu dibongkar supaya tidak ada pihak cuba membuat duit dalam perkara halal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN