Langgar protokol halal

Langgar protokol halal

daging australia
Malaysia perlu menubuhkan rumah sembelih sendiri di luar negara bagi memastikan tidak timbul lagi isu halal yang meragukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelanggaran protokol halal sebuah rumah penyembelihan di Australia yang mengeksport daging ke negara ini turut diakui penyelidik bebas warganegara berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Murray Hunter berkata, pengabaian pematuhan protokol sijil halal itu pernah dibangkitkan pihak tertentu sebelum ini pada 2019, namun ia didapati masih berterusan berdasarkan pengakuan saksi dan pelbagai dokumen yang diperoleh.

Namun, beliau mendakwa, setakat ini belum ada pihak yang menyiasat atau menghentikan pelanggaran protokol oleh pusat penyembelihan itu yang mendapat pengiktirafan Malaysia dan Singapura.

Murray yang juga bekas pro­fesor di Universiti Malaysia Per­­lis (Unimap) mendakwa, ber­­dasarkan bukti terbaharu menerusi gambar dan video yang mengejutkan di rumah penyembelihan itu pada Februari dan Mac lalu, ia secara jelas membuktikan pelanggaran protokol penyembelihan halal.

Menurut laporan yang di­sokong saksi, katanya, semua kambing biri-biri lemas dalam darah yang terkumpul dari haiwan yang disembelih sebe­lumnya dan ia mati disebabkan lemas dan bukannya kerana haiwan itu disembelih sebagaimana syarat yang diperlukan dalam keperluan penyembelihan halal.

Beliau yang memeluk Islam sejak 1978 berkata, kelazimannya empat orang dikehendaki menjalankan proses penyembelihan itu iaitu dua tukang sembelih, masing-masing seorang pemeriksa halal dan penyelia.

Namun Murray mendakwa, bagi menjimatkan kos tenaga kerja, hanya tiga pekerja menjalankan proses itu.

Murray yang pernah menjadi tenaga pengajar di sebuah universiti di Selatan Thailand berkata, beliau ada merujuk kepada pakar dalam operasi rumah penyembelihan, dan ter­nyata berlaku kesilapan terutama dalam isu kesihatan veterinar.

Katanya, kawasan kerja rumah penyembelihan biasanya disembur air setiap 15 hingga 20 minit untuk mengelak pe­ngumpulan lemak dan darah bagi memastikan ia tidak menjadi tempat pembiakan bakteria berbahaya yang boleh mencemari daging dengan mudah.

“Masa pengaliran darah adalah wajib bagi mengesahkan bahawa haiwan itu mati akibat penyembelihan yang betul. Le­bih menyedihkan, seperti yang dilihat dalam video, haiwan ini mati akibat lemas dalam darah haiwan lain yang disembelih sebelumnya untuk mempercepatkan kematiannya.

“Oleh itu haiwan ini harus diklasifikasikan sebagai bangkai iaitu bukan akibat disembelih mengikut syariah Islam tetapi sebab-sebab lain yang menyebabkan bangkai itu haram untuk orang Islam memakannya,” katanya di sini semalam.

Murray turut mempersoalkan mengapa badan persijilan halal di Australia tidak menyedari amalan sedemikian berlaku, selain pihak berkuasa veterinar, kesihatan dan keselamatan negara itu tidak mengambil tindakan atas sebab kesihatan umum.

“Pihak berkuasa negara ini telah dimaklumkan mengenai isu-isu di atas selama bertahun-tahun namun tidak ada usaha untuk membetulkan ancaman ini terhadap integriti halal dan kesihatan serta keselamatan daging yang dieksport untuk Malaysia dan Singapura.

“Bukti yang diberikan me­nunjukkan sebahagian daging yang masuk ke Malaysia jelas tidak halal. Kebanyakannya, boleh diklasifikasikan sebagai bangkai selain ketidakpatuhan aspek kebersihan dan kewa­ngan dalam badan pensijilan luar negara yang dilantik Malaysia,” katanya.

Utusan Malaysia turut mendapatkan respon daripada Ja­batan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi itu memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan mengenai status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia yang turut mengeksport daging ke Malaysia diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN