PETALING JAYA : Perbuatan mencuri elektrik membabitkan pengusaha bitcoin didapati semakin serius dengan jumlah kes dikesan meningkat lebih 400 peratus dalam tempoh empat tahun sejak 2018.
Menurut kenyataan Tenaga Nasional Berhad (TNB), sepanjang tempoh itu menyaksikan 7,209 kes dikesan sepanjang empat tahun dengan merekodkan 610 kes pada 2018 diikuti 1,043 kes (2019), 2,465 kes (2020) dan 3,091 kes pada 2021 sekali gus menyebabkan kehilangan lebih 4.5 bilion kilowatt jam (kWh) kepada negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, aktiviti perlombongan Bitcoin yang mengambil bekalan elektrik secara curang bukan sahaja memberi impak kepada TNB malah secara tidak langsung kepada rakyat dan negara.
Katanya, selain boleh menyebabkan kerosakan dan kebakaran pada pepasangan TNB, aktiviti Bitcoin ini memberi kesan kepada pengguna apabila bekalan elektrik terputus.
Terdahulu, Baharin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengadakan pertemuan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 29 Mac lalu bagi merintis kerjasama strategik dan TNB menyumbang sembilan kenderaan pacuan empat roda bagi meningkatkan lagi kecekapan membanteras kegiatan berkenaan.
Katanya, TNB dan PDRM perlu mengukuhkan lagi kerjasama dengan meningkatkan keupayaan menggempur kegiatan mencuri arus elektrik terutama melibatkan aktiviti perlombongan mata wang kripto Bitcoin yang menyebabkan kerugian besar kepada industri tenaga dan negara.
Baharin berkata, ia telah memberikan impak yang besar dan positif dalam usaha TNB membendung aktiviti kecurian arus elektrik melibatkan pengguna industri dan komersial.
“TNB berterima kasih atas sokongan dan kerjasama pihak PDRM dalam membantu mengekang aktiviti jenayah ini di seluruh Semenanjung, seterusnya memastikan bekalan elektrik berdaya harap dapat terus dibekalkan tanpa gangguan kepada rakyat, industri dan komersial,” ujarnya.
Dalam pada itu, Acryl Sani berkata bahawa PDRM telah berjaya menangkap 627 individu serta merampas barang kes bernilai RM69.8 juta dalam serbuan-serbuan yang dijalankan secara bersepadu dengan TNB.
“PDRM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TNB di atas sumbangan yang diberikan.
“Kenderaan-kenderaan berkenaan akan digunakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah bagi mempergiatkan usaha membanteras kegiatan kecurian elektrik untuk aktiviti perlombongan bitcoin di seluruh negara,” katanya. –UTUSAN ONLINE










