Sedia letak jawatan tiada kaitan kekalahan PH - Kor Ming

Sedia letak jawatan tiada kaitan kekalahan PH – Kor Ming

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menjelaskan kesediaannya untuk meletakkan jawatan tidak mempunyai kaitan dengan kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sebaliknya, Timbalan Pengerusi DAP itu berkata, kenyataan beliau sebelum ini dibuat atas prinsip mempertahankan kewibawaan sistem kehakiman negara dan kedaulatan undang-undang membabitkan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Yang saya nyatakan semasa wawancara tersebut merupakan pendirian saya sebagai seorang peguam cara dan peguam bela Mahkamah Tinggi Malaya yang konsisten sepanjang masa iaitu kewibawaan sistem kehakiman negara perlu dipertahankan.

“Sekiranya Datuk Seri Najib yang mengakibatkan rakyat Malaysia kini terpaksa menanggung hutang 1MDB sebanyak RM51.4 bilion boleh dilepaskan tanpa menjalankan hukuman yang setimpal dengan kesalahan walaupun sudah didapati bersalah, ia bermakna kewibawaan sistem kehakiman negara ini telah digadai

“Sekiranya keadaan sedemikian berlaku, demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara kita yang tercinta, saya sudi letak jawatan sebagai anggota Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keadaan sedemikian juga bermakna prinsip kedaulatan undang-undang seperti termaktub dalam Rukun Negara tidak lagi dihormati.

“Perkara ini tidak ada kaitan dengan soal peribadi, sebaliknya ia merupakan satu soal prinsip utama. Saya kekal berpegang teguh dengan prinsip ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kor Ming mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam PRN Johor semalam.

Beliau berkata, proses demokrasi perlu dihormati oleh semua pihak dan kemenangan majoriti dua pertiga itu merupakan amanah serta tanggungjawab berat yang perlu dipikul BN dengan penuh integriti.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pengundi yang menyokong PH serta petugas dan sukarelawan yang bertungkus-lumus untuk memenangi PH.

“Walaupun kami tidak menang kali ini, esok masih ada. PH tetap komited dan cakna untuk terus bekerja kuat dan berbakti kepada rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN