ATLANTA: Dua kuasa besar bola sepak dunia, England dan Argentina sekali lagi dipertemukan di pentas Piala Dunia apabila bakal berentap dalam aksi separuh akhir, sekali gus menghidupkan semula antara perseteruan paling ikonik dalam sejarah kejohanan itu.
England mara selepas bangkit menewaskan Norway 2-1 menerusi masa tambahan, manakala juara bertahan, Argentina pula terpaksa berhempas-pulas sebelum menundukkan Switzerland 3-1, juga selepas 120 minit permainan.
Kejayaan itu menyaksikan kedua-dua pasukan hanya dipisahkan satu lagi kemenangan untuk melangkah ke pentas final, dengan pemenang bakal berdepan sama ada Perancis atau Sepanyol dalam perebutan kejuaraan dunia.
Bagaimanapun, pengendali England, Thomas Tuchel mengakui pasukannya bernasib baik melepasi halangan Norway dan menggesa anak buahnya meningkatkan mutu permainan jika mahu menewaskan Argentina.
“Kami menyukarkan keadaan sendiri hari ini. Keputusan memang hebat kerana kami berjaya mara ke separuh akhir, tetapi saya langsung tidak gembira dengan prestasi kami.
“Kami sangat bernasib baik hari ini dan perlu bermain jauh lebih baik jika mahu terus melangkah,” katanya.
Argentina pula sekali lagi dipaksa mengharungi masa tambahan sebelum dua jaringan Julian Alvarez dan Lautaro Martinez memastikan Switzerland yang beraksi dengan 10 pemain akhirnya tumbang.

Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni mengakui kemenangan itu bukan hadir dengan mudah apabila anak buahnya berdepan tentangan fizikal yang cukup sengit sebelum memanfaatkan kelebihan seorang pemain pada penghujung permainan.
“Kami terpaksa banyak menderita kerana mereka sebuah pasukan yang sangat fizikal dan menyukarkan kami sepanjang perlawanan.
“Ada ketika kami langsung tidak menemui jalan penyelesaian, tetapi hari ini nasib menyebelahi kami selepas mereka kehilangan seorang pemain,” katanya. – AGENSI










