PETALING JAYA: Kerajaan mula menyiasat dakwaan wujud kartel yang mengawal pasaran ayam sehingga mengakibatkan harga ternakan itu tidak menentu di pasaran.
Laporan Utusan Malaysia kelmarin mendorong Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertindak termasuk membincangkannya dalam mesyuarat khas semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, susulan mesyuarat peringkat tertinggi semalam bagi membincangkan isu berkenaan para pegawai kementerian telah diarahkan melakukan siasatan menyeluruh.

“Saya mengambil maklum apa yang telah didedahkan pada muka depan akhbar Utusan Malaysia mengenai isu kartel yang mengawal harga ayam. Saya ingin menyatakan bahawa pihak kementerian menerima dan memandang serius pendedahan pihak Utusan Malaysia.
“Melalui pendedahan yang dibuat, saya ingin memaklumkan bahawa usaha Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam menangani isu tersebut sentiasa berterusan, dan saya telah mengarahkan pegawai di kementerian untuk membantu siasatan berhubung perkara ini,” katanya di sini, semalam.
Akhbar ini semalam mendedahkan kewujudan komplot atau kartel yang mengawal harga pasaran ayam di negara ini didakwa memanipulasikan harga ternakan itu sehingga tidak menentu di pasaran sejak ke belakangan ini.
Malah, hampir keseluruhan rantaian industri penternakan itu dikawal beberapa kartel besar yang menggunakan persatuan bagi menyembunyi perbuatan mereka.
Sumber dalaman industri memberitahu, cengkaman kartel itu berlaku ke atas keseluruhan rantaian industri termasuk berkuasa menentukan harga anak ayam berusia sehari untuk tujuan baka, harga dedak malah harga ayam di pasaran.
Kata sumber itu, ia sekali gus menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya golongan penternak ayam, iaitu kumpulan terbawah dalam proses rantaian bekalan menjadi dalang kepada peningkatan harga ayam.
Sedangkan, katanya, kumpulan penternak termasuk di negeri-negeri hanya terlibat menerima bekalan anak ayam dan sumber makanan daripada pihak kartel dan membela sehingga tempoh tertentu sebelum dijual semula kepada kartel berdasarkan harga yang ditetapkan.
Pada masa sama, Alexander menyeru semua pihak yang mempunyai maklumat tentang kegiatan kartel, agar tampil membuat laporan kepada pihak KPDNHEP atau MyCC bagi membantu melancarkan usaha kementerian untuk membanteras kegiatan itu.
“Saya juga merayu kepada semua pihak, jika mempunyai sebarang maklumat tentang kegiatan kartel, sila tampil dan membantu KPDNHEP serta MyCC dengan menyalurkan maklumat, bagi membantu penguatkuasa mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya.
Sementara itu, Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memaklumkan kepada Utusan Malaysia, kawalan harga ayam adalah di bawah bidang kuasa KPDNHEP.
Kata kenyataan itu, sekiranya ayam bulat dijual lebih dari harga kawalan yang ditetapkan, pengguna boleh melaporkan kepada KPDNHEP.
Menurut unit komunikasi kementerian berkenaan, bahan mentah untuk memproses dedak adalah diimport, contohnya jagung dan kacang soya.
“Harga import bahan mentah ditentukan oleh harga komoditi jagung dan kacang soya,” katanya.
Ditanya mengenai pemberian subsidi, menurut kementerian itu, pemberian subsidi ayam berlangsung bermula 28 Februari lalu dan akan berakhir pada 30 Mei ini.
“Bagi tempoh jangka panjang, kementerian turut memberi pinjaman mudah untuk industri ayam bagi memperbaiki modal pusingan,” ujar kenyataan itu. – UTUSAN










