Jadikan lompat parti kesalahan jenayah

Jadikan lompat parti kesalahan jenayah

ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wakil rakyat yang melompat parti wajar dihadapkan ke mahkamah sekiranya mereka bertindak begitu selepas disogok dengan wang atau tawaran jawatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, perbuatan itu wajar menjadi satu kesalahan jenayah dan seharusnya disiasat serta didakwa ke mahkamah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, kata beliau, perkara itu tidak pernah berlaku walaupun negara ini banyak kali menyaksikan drama ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti sehingga memberi kesan kepada kestabilan negara.

“Kita ada undang-undang membabitkan sogokan dan rasuah dengan wang atau pangkat, apatah lagi membabitkan wakil rakyat lompat parti kerana tawaran tersebut, maka mereka perlu didakwa. Soalnya adalah pelaksanaan, sama ada dilakukan atau tidak?

“Malah pihak yang menawarkan sogokan wajar dikenakan tindakan undang-undang. Jika ini berlaku, tidak perlulah buat undang-undang Anti Lompat Parti, memadai perundangan jenayah ke atas sogokan membabitkan wakil rakyat terlibat,” katanya.

Sebelum ini, usaha kerajaan untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti menimbulkan polemik apabila usaha itu sudah dua kali ditangguhkan sekali gus memperlihatkan kelemahan penggubal undang-undang atau ahli Parlimen.

Malah sesi Sidang Khas Dewan Rakyat pada minggu lalu juga hanya menyaksikan sesi perbahasan manakala tiada pengundian dilakukan bagi meluluskan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, soal integriti menjadi asas utama ke atas tindakan wakil rakyat melompat parti walaupun kerajaan bersungguh-sungguh menggubal undang-undang untuk menyekat perbuatan itu.

Jelas beliau, sekiranya mana-mana ahli Parlimen dan ADUN bersikap jujur serta mematuhi mandat rakyat, mereka tidak akan sesekali menyertai parti politik lain demi habuan tertentu.

“Buatlah segala undang-undang sekalipun, akhirnya berbalik kepada integriti wakil rakyat sendiri untuk mematuhi mandat rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN