Isu gaji minimum amah Indonesia: Persetujuan Malaysia aneh - MTUC - Utusan Malaysia

 Isu gaji minimum amah Indonesia: Persetujuan Malaysia aneh – MTUC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan persetujuan kerajaan untuk membayar gaji sebanyak RM1,500 kepada pekerja domestik dari Indonesia yang akan bekerja di negara ini sebagai aneh. 

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, hal itu kerana, setakat ini, tiada sebarang perbincangan antara Malaysia dengan Indonesia dalam menetapkan hal-hal berkaitan dengan isu gaji minima pekerja domestik. 

Bagaimanapun, pihaknya mengalu-alukan persetujuan itu kerana MTUC telah mendesak bahawa tiada pengecualian kepada mana-mana majikan untuk melaksanakan gaji minima termasuk pekerja domestik.

“MTUC terkejut dengan persetujuan kerajaan Malaysia membayar gaji RM1,500 kepada pembantu rumah yang akan bekerja di negara ini. 

“Persetujuan ini agak aneh kerana tiada sebarang perbincangan yang dilakukan di Malaysia. 

“Pekerja domestik dikecualikan di dalam pemakaian perintan gaji minima yang dilaksanakan sejak tahun 2013 hingga kini tetapi kerajaan Malaysia secara tiba-tiba bersetuju dengan cadangan kerajaan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Semalam, media tempatan melaporkan, peraturan ketat untuk melindungi pekerja domestik adalah termasuk gaji minima RM1,500 yang akan dikenakan ke atas majikan di negara ini, berdasarkan memorandum persehaman (MoU) 1 April yang dimeterai antara Indonesia dan Malaysia. 

Di dalam MoU itu, dilaporkan, gaji perlu dibayar terus ke akaun bank pekerja selewat-lewatnya pada tujuh hari bulan dengan bonus sebulan selepas kontrak selesai dan kenaikan gaji jika kontrak diperbaharui selepas dua tahun. 

Ketetapan gaji minimam berkenaan dilihat berbeza dengan pendirian kerajaan pada tahun lalu, dan Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan dilaporkan telah memaklumkan rakan sejawatannya di republik berkenaan bahawa Malaysia tidak bersetuju menetapkan gaji minima RM1,500 untuk pembantu rumah. 

Dalam pada itu, Kamarul Bahrin menyarankan kepada kerajaan supaya gaji minima itu yang akan dilaksanakan bermula 1 Mei ini diwajibkan kepada syarikat tanpa ada penegcualian, dan MTUC sedang menunggu perbincangan dengan kerajaan tentang mekanisma tersebut. 

Katanya, MTUC akan memantau isu gaji minima secara serius kerana harapan dan impian pekerja di bawah golongan berpendapatan rendah (B40) dalam kadar baharu gaji minima sangat tinggi. 

“Tarikh pelaksanaan kadar gaji minima baharu akan berlaku kurang daripada sebulan. Kami bimbang jika kerajaan tidak mempunyai masa yang cukup untuk berbincang dengan pihak berkepentingan,” katanya.  –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN