Gaji RM1,500: Persetujuan Malaysia aneh

Gaji RM1,500: Persetujuan Malaysia aneh

MTUC Kamarul Baharin Mansor
KAMARUL BAHARIN MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan persetujuan kerajaan membayar gaji RM1,500 kepada pekerja domestik Indonesia yang akan bekerja di negara ini sebagai aneh.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, hal itu kerana, setakat ini, tiada sebarang perbincangan antara Malaysia dengan Indonesia dalam menetapkan hal-hal berkaitan dengan isu gaji minimum pekerja asing.

Bagaimanapun, pihaknya mengalu-alukan persetujuan itu kerana MTUC telah mendesak bahawa tiada pengecualian kepada mana-mana majikan untuk melaksanakan gaji minimum termasuk pekerja domestik.

“MTUC terkejut dengan persetujuan kerajaan Malaysia membayar gaji RM1,500 kepada pembantu rumah yang akan bekerja di negara ini.

“Persetujuan ini agak aneh kerana tiada sebarang perbincangan yang dilakukan di Malaysia.

“Pembantu rumah dikecualikan daripada pemakaian perintah gaji minimum yang dilaksanakan sejak tahun 2013 hingga kini, tetapi Malaysia secara tiba-tiba bersetuju dengan cadangan kerajaan Indonesia,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Kamarul Bahrin menyarankan kepada kerajaan supaya gaji minimum itu yang akan dilaksanakan bermula 1 Mei ini diwajibkan kepada syarikat tanpa ada pengecualian.

“MTUC juga sedang menunggu perbincangan dengan kerajaan tentang mekanisme tersebut,” katanya.

Katanya, MTUC akan memantau isu gaji minimum secara serius kerana harapan dan impian pekerja di bawah golongan berpendapatan rendah (B40) dalam kadar baharu gaji itu.

“Tarikh pelaksanaan kadar gaji minimum baharu akan berlaku kurang daripada sebulan. Kami bimbang jika kerajaan tidak mempunyai masa yang cukup untuk berbincang dengan pihak  berkepentingan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN