JOHOR BAHRU: Jumlah kes demam denggi di negeri ini mencatatkan penurunan sebanyak 51.7 peratus kes sejak awal tahun hingga minggu epid ke-15 dengan 383 kes direkodkan berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, daripada jumlah berkenaan, 83 kes dilaporkan dari lokaliti wabak manakala 300 kes melibatkan lokaliti bukan wabak.
Bagaimanapun, katanya, pada minggu lalu sahaja, sebanyak 35 kes demam denggi telah dilaporkan iaitu peningkatan 40 peratus berbanding 25 kes direkodkan minggu terdahulu.
“Daerah Johor Bahru menyumbang sebanyak 21 kes, 60 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti Kulai (9 kes, 25.7 peratus), Muar (2 kes, 5.7 peratus), Segamat (2 kes, 5.7 peratus) serta Pontian (1 kes, 2.9 peratus).
“Manakala tiada kes dilaporkan di Kluang, Tangkak, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Mersing. Daerah yang melaporkan peningkatan kes pada Minggu Epid-15 berbanding minggu terdahulu adalah Johor Bahru, Kulai, Muar dan Pontian.
“Tiada sebarang kematian dilaporkan bagi minggu lalu, manakala kumulatif kes kematian akibatnya denggi setakat tahun ini adalah kosong, berbanding satu kes sepanjang tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Tian Soon, pegawai kesihatan negeri akan terus melaksanakan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan (PTP) di dalam dan luar rumah.
“Sebarang penemuan tempat pembiakan serta tempat berisiko pembiakan menunjukkan masyarakat masih belum peka kepada keperluan pembersihan dan pemusnahan tempat berisiko pembiakan nyamuk Aedes.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk mencari dan memusnah tempat pembiakan nyamuk di kawasan kediaman dan tempat kerja mereka,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE










