Apa nasib PT3 2022?

Apa nasib PT3 2022?

Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) perlu dikembalikan untuk mengukur tahap pencapaian pelajar selepas menamatkan peringkat menengah rendah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas dua tahun Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan berikutan pandemik Covid-19, Kementerian Pendidikan perlu meneruskan peperiksaan itu pada tahun ini yang dianggap amat penting untuk menentukan kemampuan pelajar di peringkat menengah rendah.

Pengerusi Pusat Kajian Kepimpinan dan Polisi Pendidikan di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Bity Salwana Alias berkata, peperiksaan itu menjadi kayu pengukur untuk menilai kemampuan pelajar sebelum ditempatkan mengikut kecenderungan dan prestasi akademik mereka.

Katanya, tanpa PT3, pihak sekolah terpaksa bergantung kepada peperiksaan peringkat sekolah semata-mata bagi menilai prestasi dan kecenderungan mereka, malah, keputusan peperiksaan peringkat itu tidak cukup terperinci.

“Ini penting untuk menilai sejauh mana persediaan, kemampuan dan kemahiran mereka untuk berada di peringkat menengah atas. Pada masa sama juga, ini juga menyentuh soal kematangan pelajar.

“Apabila mereka berada di tingkatan empat, sebenarnya mereka sudah sepatutnya sedia maklum akan kemampuan dan potensi diri serta aliran akademik yang sesuai. Ini hanya boleh diukur melalui PT3 ini, untuk membolehkan pelajar mengukur kemampuan dan kecenderungan masing-masing.” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

TERLALU SELESA

Pada masa sama, Bity Salwana berkata, peperiksaan PT3 juga penting bagi mengelakkan pelajar menjadi terlalu selesa tanpa sebarang persediaan serius.

Pada masa sama, katanya peperiksaan itu penting bagi menanam kesediaan dalam diri pelajar supaya tidak menjadi terlalu selesa dan sentiasa membuat ulang kaji.

“Kita tak mahu pelajar menjadi terlalu selesa akibat ketiadaan peperiksaan PT3. Ini kerana, jika PT3 dimansuhkan, jarak masa antara peperiksaan peringkat sekolah rendah sehingga SPM jauh sangat, jaraknya pada saya terlalu panjang.

“Kemungkinan di situ pelajar menjadi terlalu selesa dan terlalu banyak masa untuk sebarang aktiviti, yang kita khuatir akhirnya kita tak mampu kawal. Sebab itu dahulu kita ada satu istilah pelajar tingkatan empat ini dianggap berbulan madu sebab baru selesai Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Dulu masih ada PMR, jadi cuba bayangkan sekarang jika tiada PT3? Dari tingkatan satu sampailah tingkatan lima, baru ada peperiksaan? Jadi pada saya ini satu tempoh yang terlalu panjang, yang mungkin menjadikan pelajar terlalu selesa. Maka untuk elakkan perkara sebegini, PT3 harus diteruskan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×