PUTRAJAYA: Program Jom Biodiesel anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) di dua bazar Ramadan di sini mendapat sambutan menggalakkan daripada peniaga sejak dilancarkan awal Ramadan lalu.
Setakat 25 April lalu, sebanyak 390 kilogram (kg) minyak masak terpakai berjaya dikumpulkan membabitkan 20 peniaga bazar.
Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perkhidmatan Bandar, PPj, Dr. Mohd. Helmi Abdul Hamid berkata, program itu disertai 11 peniaga di Bazar Ramadan Presint 3 dan sembilan peniaga di Bazar Ramadan Presint 14.
Beliau berkata, minyak masak terpakai itu akan dibeli semula pihaknya pada harga RM1.80 sekilogram.
“Program ini dijalankan secara berterusan sejak dua tahun lalu bertujuan mengumpulkan minyak masak terpakai di Putrajaya dan diproses menjadi biodiesel.
“Program ini bermula pada Oktober 2020 dan menjadi antara pengisian program kitar semula sepanjang Ramadan setiap tahun,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, program itu diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran peniaga terhadap aspek kitar semula dan bahaya penggunaan minyak masak berulang kali.
Dr. Mohd. Helmi berkata, penggunaan minyak masak berulang-kali hanya dihadkan kepada maksimum tiga kali sahaja bertujuan mengelakkan masalah kesihatan badan seperti kanser dan penyakit jantung.
Menurutnya, pihaknya juga menyediakan tong minyak masak 25 liter kepada peniaga yang berminat bagi memudahkan pengumpulan minyak terpakai. –UTUSAN ONLINE