PETALING JAYA: Sektor peruncitan, perhotelan serta restoran kini berdepan kesulitan dan pertumbuhan yang dijangka lebih perlahan dalam fasa endemik kerana masih kekurangan hampir 200,000 tenaga kerja, sekali gus menghalang perniagaan mencapai operasi sepenuhnya.
Peruncitan antara yang paling meruncing mengalami kekurangan kira-kira 100,000 pekerja manakala industri perhotelan dianggarkan 60,000 dan restoran lebih 30,000 orang.
Isu bayaran gaji rendah dan pendapatan yang lebih lumayan dalam ekonomi gig turut mempengaruhi bekas pekerja enggan kembali bekerja dalam sektor-sektor berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia, Tan Sri Teo Chiang Kok berkata, peniaga kini berdepan kekurangan tenaga kerja yang agak serius.
Katanya, ramai pekerja yang berhenti sebelum ini terlibat dalam sektor ekonomi gig dan seronok menjalankan perniagaan dari rumah menyebabkan mereka berat hati untuk kembali bekerja.
“Ditambah pula pekerja asing yang pulang ke negara masing-masing dan tidak diganti sehingga kini. Ini menyebabkan industri pusat beli-belah mengalami kekurangan 10 peratus atau bersamaan 100,000 pekerja daripada jumlah sejuta tenaga kerja sektor peruncitan,” katanya.
Sementara Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, keadaan itu meninggalkan kesan kepada kualiti perkhidmatan dan tempias buruk kepada pulangan hasil perniagaan.
“Kami tiada masalah buka perniagaan 24 jam, tetapi isunya kekurangan pekerja. Bagaimana untuk jalankan operasi jika kedai pun tidak cukup pekerja.
“Misalnya operasi perniagaan peruncitan, kami mahu melebarkan perniagaan tetapi tidak cukup kakitangan apatah lagi kerajaan sudah umum buka sempadan tetapi pengusaha tidak menang tangan apabila menerima banyak pelanggan. Oleh itu, ada dalam kalangan mereka terpaksa had kehadiran pengunjung. Apabila ini berlaku sudah tentu memberikan kesan hasil pendapatan perniagaan,” katanya.
Bagi Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, sebanyak 3,500 pengusaha restoran memerlukan lebih 30,000 pekerja bagi menguruskan perniagaan setelah dibenarkan beroperasi selama 24 jam dalam fasa endemik.
Katanya, sebelum pandemik mereka menggunakan sehingga 150,000 tenaga kerja, namun berkurangan kepada 120,000 orang apabila terdapat pekerja pulang ke negara masing-masing dan kesukaran untuk membawa masuk mereka semula.
“Keadaan itu menyebabkan kami terpaksa mengehadkan waktu perniagaan sehingga 10 malam atas faktor tidak cukup pekerjaan meskipun mahu melanjutkan sehingga lewat pagi.
“Sekiranya situasi ini berterusan sudah pasti memberi kesan kepada rantaian ekonomi negara kepada semua sektor membabitkan bekalan mentah sekali gus menyebabkan hasil pulangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kurang.
“Jadi kami merayu kepada kerajaan untuk mempermudah kemasukan pekerja asing untuk menampung kekurangan ini. Bukan kami tidak mahu warga tempatan, tetapi berilah ruang sementara untuk kami bernafas sementara mencari pekerja baharu dalam kalangan rakyat negara ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Emmy Suraya Hussein berkata, masalah kekurangan pekerja membelenggu industri pelancongan sejak mula kebenaran rentas negeri.
Jelasnya, pekerja-pekerja lama tidak mahu kembali ke industri kerana bimbang berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjadi orang pertama yang diberhentikan semula.
“Disebabkan ketiadaan pekerja, industri tidak boleh beroperasi 100 peratus. Jika ada 100 bilik, kita hanya boleh membuka 70 bilik mengikut berapakah jumlah tenaga kerja yang kita ada. Kita tidak mahu memberi perkhidmatan tidak berkualiti kepada pelanggan.
“Untuk hotel bajet, kita memerlukan dalam lingkungan 120,000 tenaga pekerja tetapi setakat ini kita ada 60,000 pekerja sahaja. Sebab itu kita sedang berurusan dengan pihak universiti untuk mengadakan latihan supaya dapat membantu sambil belajar,” katanya. – UTUSAN










