SETELAH dua kali cuba merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani melalui MCA, Barisan Nasional (BN) kali ini tampil dengan menamakan calon daripada UMNO, DATUK NAJIB SAMURI.
UTUSAN: Datuk pertama kali bertanding?
NAJIB: Sejak hari diumumkan sebagai calon BN wakili DUN Parit Yaani, saya bersemangat untuk pastikan kita boleh lakukan kejutan di kerusi tersebut walaupun pergerakan agak terbatas kerana kekangan prosedur operasi standard (SOP). Tetapi kita cuba maksimumkan segala ruang yang ada untuk mendekati masyarakat.
Berdepan calon PH yang lebih berpengalaman, sukarkah?
Kita calon baharu dan kita sedar sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) lalu Pakatan Harapan (PH) menang agak besar dengan majoriti 4,834 undi. Memang agak sukar, tetapi BN Sri Gading tetap optimis untuk beroleh kemenangan.
Parit Yaani tradisinya ditandingi MCA, bagaimana sambutan akar umbi?
Setelah memasuki hari ketiga kempen, sambutan jentera parti dan akar umbi sangat baik. Mereka gembira kerana UMNO diberi peluang bertanding memandangkan kerusi ini pun memiliki 54.07 peratus pengundi Melayu.
Mengapa perlu beri peluang BN menang?
Untuk memberi harapan baharu kepada rakyat dan demi kestabilan masa depan yang bukan sahaja untuk rakyat di DUN Parit Yaani tetapi kesemua kerusi yang ditandingi calon-calon BN.
Keyakinan menang masih tinggi?
Yakin dan harap situasi Covid-19 tidak mengganggu proses pembuangan undi 12 Mac nanti. Beri peluang kepada BN untuk berkhidmat semula di Parit Yaani kerana banyak perancangan yang kita susun untuk kepentingan bersama masyarakat di sini. – UTUSAN











