Tok Mat: PN serupa PH gugur banyak kes - Utusan Malaysia

Tok Mat: PN serupa PH gugur banyak kes

MOHAMAD HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) hairan dengan tindakan Perikatan Nasional (PN) memainkan isu ‘kluster mahkamah’ memandangkan pemimpin mereka turut bersama dalam kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) menggugurkan banyak kes pertuduhan termasuk yang masih dalam perbicaraan mahkamah.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika itu bukan sahaja kes melibatkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng digugurkan malah beberapa kes yang telah dilakukan tangkapan dan pendakwaan.

Katanya, ia termasuklah tindakan PH menarik balik pendakwaan kes pihak yang menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah kata beliau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyatakan rasa terkejut dan terkilan kerana kes Guan Eng digugurkan.

“Jadi, siapa sebenarnya yang tidak menghormati rule of law. Perikatan Nasional (pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin) mahu bercakap berkenaan ‘kluster mahkamah’ (dalam kempen Pilihan Raya Negeri Johor), sedangkan mereka (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) juga yang bersama PH.

“Jangan lupa mereka sebahagian dari PH (22 bulan) semasa semua itu dilakukan.

“Kita (BN) tidak pula kata bila UMNO berkuasa akan gugurkan segala pertuduhan. Bahkan sekarang Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob) jadi Perdana Menteri, dia pemimpin UMNO. Dia tidak buat seperti PH lakukan setelah menang sahaja PRU-14, kes-kes digugurkan, ditarik balik oleh Peguam Negara.

“Datuk Seri Najib gagal rayuannya di Mahkamah Rayuan. Malah Datuk Seri Zahid perlu membela diri di mahkamah. Jadi, apa isunya?” katanya dalam pertemuan di sini baru-baru ini.

Mohamad yang juga Pengarah jentera PRN Johor BN berkata, tindakan PN membawa isu ‘kluster mahkamah’ dalam kempen di Johor kerana parti itu sudah ketandusan modal dan isu.

“Apa kena mengena isu ‘kluster mahkamah’ dengan PRN Johor? Datuk (Seri) Najib bertanding ke? Datuk (Seri) Zahid bertanding ke,” ujarnya. – UTUSAN

  • Ikuti wawancara penuh Mohamad Hasan di muka 12 dan 13 akhbar Mingguan Malaysia
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini