PONTIAN: Pemilihan Hasrunizah Hassan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang secara tidak langsung mengembalikan kerusi tersebut yang sebelum tahun 2004 diisi oleh calon Melayu.
Hasrunizah, 45, berkata, soal sama ada kerusi DUN Pulai Sebatang sebagai kerusi ‘tradisi’ MCA, bukan perkara utama kerana semua calon yang dipilih berada di bawah satu payung besar Barisan Nasional (BN).
Menurut bekas Penolong Jurutera Kanan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor itu, walaupun MCA tidak bertanding di DUN Pulai Sebatang, parti itu tetap diberi 15 kerusi lain seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Saya harap polemik ini dapat dihentikan kerana tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan kerusi Pulai Sebatang yang jatuh kepada Pakatan Harapan (PH) dapat dimenangi semula oleh BN.
“Sebagai sebuah parti komponen BN, kerjasama dan tolak ansur penting dalam menghadapi pihak lawan yang ingin melihat kita tidak menerajui semula kerajaan negeri Johor,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Kerusi DUN Pulai Sebatang selama tiga penggal bermula dari tahun 2004, 2008 dan 2013 disandang oleh Datuk Tee Siew Kiong, bagaimanapun beliau gagal mempertahankannya pada PRU-14.
Siew Kiong tewas kepada wakil Parti Amanah Negara (Amanah) yang bertanding di bawah PH, Mohamad Taqiuddin Cheman dengan majoriti 3,395 undi.
Sebelum tahun 2004, kerusi DUN Pulai Sebatang dimenangi Datuk Nasir Safar, Allahyarham Khatijah Mohd. Som dan Allahyarham Abd. Malik Ibrahim.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Hasrunizah dicabar oleh Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat daripada PH, Abdullah Hussin (Pas) dan Abd. Rashid Abd. Rahman (Parti Pejuang Tanah Air).
Sementara itu, Hasrunizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pontian berkata, gerak kerja mendekati pengundi telah dilakukan selepas BN kalah dalam PRU-14 dan diteruskan ketika negara dilanda Covid-19 dengan penghantaran kotak makanan kepada mangsa. – UTUSAN











