Kontraktor bakal gulung tikar kerana LPPSA - Utusan Malaysia

Kontraktor bakal gulung tikar kerana LPPSA

HASNIRO HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejumlah besar kontraktor perumahan dikatakan bakal gulung tikar bukan kerana kekurangan tenaga kerja atau kenaikan harga barang, tetapi kerana perubahan terhadap jadual pembayaran pinjaman oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM), Hasniro Hasbullah berkata, perubahan jadual itu menuntut kontraktor untuk menyiapkan satu-satu rumah tanpa mengikut pelan pembinaan seperti yang biasa dilakukan sebelum ini.

Katanya, sejak perubahan itu berkuat kuasa pada 17 Disember 2020, ia memberikan impak besar kepada aliran tunai kontraktor perumahan apabila terdapat pembinaan rumah yang dapat disiapkan kira-kira 65 peratus sahaja.

“Kalau nak siap bina rumah, ada beberapa benda kita sepatutnya bina terlebih dahulu tetapi benda itu diminta siapkan kemudian. Ini menambah kepada kos perbelanjaan antara 20 hingga 30 peratus. Kemungkinan besar ramai gulung tikar lepas ini.

“Biasanya, kita perlukan modal dalam RM30,000 untuk satu rumah, tetapi disebabkan perubahan jadual ini, kita kini perlukan antara RM80,000 hingga RM90,000 modal pusingan untuk satu rumah. Ini menyebabkan aliran tunai kita terganggu,” katanya.

Dalam notis 15 Disember 2020, LPPSA memaklumkan bahawa tiga jenis permohonan pembiayaan perlu mengguna pakai Jadual Ketiga dalam Jadual G Peraturan-Peraturan Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) Pindaan 2015 dalam dokumen Kontrak Pembinaan atau Perjanjian Jual Beli semasa mengemukakan permohonan kepada LPPSA.

Ia melibatkan Jenis 2 iaitu pembinaan rumah di atas tanah sendiri, Jenis 3 iaitu pembelian rumah kediaman yang sedang dibina khususnya oleh kontraktor dan Jenis 6 iaitu pembinaan rumah kediaman di atas tanah yang dibiayai melalui kemudahan pembiayaan perumahan sektor awam.

Ketika ditanya alasan LPPSA berbuat demikian, Hasniro berkata, LPPSA memaklumkan bahawa keputusan itu berdasarkan kepada pekeliling Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa kontraktor tertakluk di bawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 sebagai pemaju yang berlesen.

“Tetapi, kita hanya kontraktor, bukan pemaju, kita tidak terikat di bawah akta ini. Kita hanya menyiapkan beberapa buah rumah mengikut projek sedia ada,” katanya.

Justeru, pihaknya telah pun meminta LPPSA mengubah semula jadual pembayaran pinjaman itu supaya kontraktor perumahan dapat bernafas semula.

“Kami sudah berhubung dengan LPPSA dan mereka bersetuju dengan cadangan kami, tetapi mereka perlu mendapat pengesahan daripada mana-mana badan profesional seperti Lembaga Arkitek Malaysia terlebih dahulu.

“Mungkin ada kekhilafan tertentu, jadi kita berharap mereka pertimbangkan cadangan kami,” katanya.

Katanya, kontraktor perumahan tidak boleh terus bertahan selagi jadual pembayaran itu tidak diubah ke asal.

“Kita jatuh bertimpa-timpa, mula-mula kena pandemik Covid-19, tidak boleh buat kerja. Kemudian kurang tenaga kerja, selepas itu kenaikan harga barang tetapi kita masih teruskan.

“Sebelum ini kita masih ada pendapatan macam biasa, tapi sekarang dah sampai masa, poket dah kering, projek pun dah habis. Masalah-masalah lain kita masih boleh hadapi, asalkan jadual ini diselesaikan terlebih dahulu. Kita dah tenat sekarang ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya