TAPAH: Seorang pendaki wanita dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih di sini semalam, manakala seorang lagi pendaki lelaki mengalami sesak nafas.
Mangsa dikenali sebagai Jaslinda Saludin, 49, dan Mohd. Hanafi Neikmad, 41.
Kedua-dua mereka antara 14 peserta bersama dua Malim Gunung Perhutanan (MGP), Hafis dan Aizat yang memulakan pendakian Trans Spencer Chapman melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh pada pukul 2 pagi, kelmarin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 11.32 pagi mengenai seorang pendaki wanita berusia 49 tahun yang mengalami kecederaan kaki di kawasan Gunung Batu Putih.
Katanya, wanita itu pada mulanya berhenti rehat bersama Mohd. Hanafi dan seorang malim gunung di Kem Batu Core pada Sabtu pukul 10 malam, selepas pendaki lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan.
“Kira-kira pukul 4 petang, kita dimaklumkan yang mangsa lelaki masih berada di Kem Batu Core manakala keberadaan peserta wanita masih tidak dapat dipastikan dan malim gunung beranggapan wanita itu meneruskan perjalanan ke puncak.
“Komunikasi terakhir diterima daripada malim gunung pada pukul 5.45 petang memaklumkan mangsa lelaki mengalami sesak nafas dan muntah darah selain tidak mampu meneruskan perjalanan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Sayani, sehingga kini, lokasi atau keberadaan Jaslinda masih belum dapat dikenal pasti dan tiada komunikasi lanjut diterima daripada malim gunung selepas pukul 5.45 petang semalam
Susulan itu katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan bantuan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Perak, Malim Gunung Perhutanan (MGP) dan Jabatan Perhutanan Perak.
“Seawal pukul 4 pagi tadi, tujuh anggota MGP dan pegawai perhutanan memulakan pendakian ke lokasi mangsa yang dianggarkan mengambil masa 10 jam perjalanan.
“Pada masa sama, sebuah helikopter AW139 JBPM dari Pangkalan Udara Wilayah Utara diterbangkan ke Kem PGA Bidor bagi melaksanakan operasi Medevac.
“Seramai 12 anggota STORM dibawa menaiki pesawat ke Puncak Gunung Batu Putih sebelum bergerak secara berjalan kaki kira-kira satu jam 30 minit ke lokasi mangsa,” katanya.
Tambah beliau, mangsa kemudiannya akan dibawa naik semula ke puncak gunung sebelum proses pemindahan keluar menggunakan kaedah winching dilakukan oleh pasukan udara JBPM.
“Operasi melibatkan 14 anggota bersama jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah,” katanya. – UTUSAN










