PETALING JAYA: Pendakwah selebriti, Haris Ismail meluahkan kebimbangannya terhadap realiti penggunaan media sosial sejak kebelakangan ini.
Menurut Haris atau mesra disapa PU Riz, dunia media sosial pada hari ini semakin membimbangkan apabila semakin ramai yang menormalisasikan menghasilkan kandungan yang tiada manfaat demi meraih perhatian.
“Lagi bodoh, lagi ‘trending’. Dulu ada seorang cendekiawan berkata, orang bodoh diangkat, orang orang cerdik dibelakangkan, makin bodoh, kadang-kadang makin diangkat.
“Hari ini, jika nak dibandingkan sangat berbeza dunia media sosial. Orang yang tenang duduk dalam rumah elok-elok, tiba-tiba cerita cerai yang keluar. Bagaimana boleh berlaku kita pun tidak tahu dan pening apabila difikirkan semula,” katanya di Threads
Tambah Haris, dia juga bimbang akan sikap terbuka ibu bapa pada zaman kini yang tidak teragak-agak mendedahkan anak-anak kepada dunia maya tanpa memikirkan kesannya pada masa akan datang.
“Ibu ayah yang di TikTok mula libatkan anak joget sama-sama. Mak pula yang arah adik buat begini bagi nampak seksi, solek tebal-tebal. Maka jogetlah mereka disaksikan seluruh dunia.
“Yang lebih lalai dan durjana ibunya juga seronok apabila si anak meraih tontonan jutaan angka. Maka makin meriah kedunguan yang berlaku lalu diikuti,” kongsinya.
Dalam masa sama, suami kepada selebriti terkenal, Neelofa itu juga kesal dengan sikap segelintir pengguna media sosial yang enggan menerima teguran apatah lagi daripada golongan agamawan.
“Apabila ada asatizah tegur atau orang yang memesan, apa yang ditulis? Penunggan agama, tidak menyeronokkam, kuno and paling terbaharu, tidak bersifat terbuka.
“Maka terbantutlah dan mandulah kefahaman orang awam terhadap apa yang berlaku. Kita dalam hidup ini senang saja mahu tahu perkara itu baik atau buruk soleh atau tholeh. Kita ikut sahaja apa yang disebut Allah dan Rasul,” jelasnya.










