Kisah wanita derita strok, tibi dapat perhatian ZPP - Utusan Malaysia

Kisah wanita derita strok, tibi dapat perhatian ZPP

FEROZ Haniff Azmai (kiri) menghulurkan bantuan kepada Azura Ahmad di Desa Kuala Muda, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Kisah seorang wanita yang menderita sakit strok dan tibi setelah ditinggalkan suami yang merupakan penagih dadah disiarkan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapat perhatian Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Pengurus Bahagian Kebajikan ZPP Feroz Haniff Azmai, 38, berkata, pada peringkat ini urusan dokumentasi bagi pihak Azura Ahmad, 37, telah selesai dan sedang melalui proses kelulusan bagi urusan bantuan yang bersesuaian.

“Hari ini, beberapa pasukan unit kebajikan ZPP telah datang bertemu dengan pemohon (Azura) di kediamannya dan kita telah uruskan hal-hal berkaitan dokumentasi untuk ke peringkat kelulusan (bantuan) segera. 

“Kalau diikutkan situasi pemohon (Azura), dia memang layak menerima bantuan. Malah, pada hari ini juga kami turut menyampaikan bantuan dari segi keperluan makanan asas seperti beras, gula dan sebagainya berserta wang tunai sebanyak RM200 kepadanya,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediaman Azura di sini semalam.

Sementara itu, Azura berkata, dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang begitu prihatin membela nasibnya sekeluarga.

“Rasa bersyukur dan gembira sangat sebab pihak ZPP sanggup turun padang lihat sendiri keadaan saya dan keluarga. Kalau tak datang jumpa, memang beginilah keadaan saya sampai bila-bila.

“Tak lupa juga kepada jiran terdekat yang sering menghulur bantuan tanpa mengira duit poket mereka sendiri semata-mata nak bantu kami. Tuhan saja boleh balas jasa mereka selama ini,” katanya sambil menambah bantuan yang diterima itu akan digunakan sebaiknya.

Khamis lalu, Utusan Malaysia menyiarkan kisah Azura bersama tiga orang anaknya yang berusia 14, 10 dan dua tahun terumbang-ambing mendakwa ditinggalkan suami.

Hidupnya bertambah sukar apabila tidak mampu bergerak dari paras pinggang ke bawah ekoran terjatuh di dalam bilik air di kediamannya sejak lapan bulan lalu dan kini hanya bergerak menggunakan kerusi roda untuk menguruskan keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN