PETALING JAYA: Kerajaan wajar mencari formula menurunkan harga barang keperluan terlebih dahulu bagi mengelak golongan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga berikutan keputusan kerajaan merealisasikan gaji minimum RM1,500.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohd Fauzi berkata, dengan menaikkan had gaji minimum akhirnya membuat rakyat terpaksa membayar balik dengan kenaikan harga barang.
Menurut beliau, harga barang keperluan dan perkhidmatan dijangka mengalami inflasi pada April ini dikhuatiri menyebabkan langkah itu tidak memberi kesan positif kepada keperluan harian rakyat.
“Kerajaan tidak sepatutnya hanya mendengar pendapat kesatuan pekerja sahaja sebaliknya perlu mengambil pendapat persatuan pengguna. Mungkin kerajaan akan kelihatan popular dengan langkah ini tetapi popular itu akhirnya akan memberi beban secara terus kepada rakyat yang akan menyebabkan inflasi, akhirnya memberi kesan kepada kerajaan dan negara.
“Dikhuatiri juga banyak peniaga peniaga kecil akan menutup operasi mereka kerana tidak mampu mengajikan pekerja. Tidak mungkin makcik kiah yang berniaga pisang goreng boleh membayar gaji pekerja sekiranya makcik kiah nak mengembangkan lagi perniagaannya menggunakan pekerja lebih lima orang.
“Pihak kami mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula perkara ini dan bagi menyelamatkan industri sederhana atau kecil. Dicadangkan pelaksanaan gaji minimum ini biarlah terpakai kepada syarikat syarikat yang modal berbayar melebihi lima juta serta bukan kepada syarikat syarikat yang sederhana atau kecil,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, akhbar melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan tentang pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara bagi mengambil kira kos sara hidup kini yang kian meningkat, sekali gus menekan golongan B40 khususnya.
Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang menerangkan, inflasi sedunia bakal berlaku, setiap negara dan rakyatnya memainkan peranan untuk mengurangkan pengaruh gelombang inflasi
“Peningkatan gaji minimum akan menambah beban pada majikan, ini juga akan menambah kos harga barangan, saya risau adakah pihak pengusaha akan naikkan harga jualan barangan? Saya berharap satu timbangrasa yang munasabah harus diamalkan untuk menjamin harga barangan itu dapat dikawal, janganlah sehingga inflasi berlaku selepas 1 Mei kelak.
“Walaupun inflasi tidak dapat dielakkan tetapi kita boleh mengurangkan impaknya sama-sama. LPKPM ingin menegaskan peningkatan gaji asas itu bukan satu alasan yang membolehkan peniaga naikkan harga barangan,” tegasnya. – UTUSAN










