KUALA LANGAT: Sehingga hari ini, hampir 14,000 guru baharu yang diambil secara one-off dan berperingkat sudah pun mendapat penempatan masing-masing di seluruh negara.
Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada 18,702 kekosongan yang dimaklumkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini sementara baki, lebih 4,000 lagi sedang dalam proses penempatan yang dijangka masuk pada sesi persekolahan tahun ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, usaha berkenaan adalah bagi membantu menyelesaikan jurang kekurangan guru yang terlalu besar dihadapi sekolah-sekolah di seluruh negara.
“Bila kita masuk ke kementerian, 18,000 jurang, biasanya kekurangan guru adalah sekitar 3,000 hingga 4,000 setahun ada yang pencen, berhenti dan sebagainya.
“Tetapi, apabila lama dibiarkan jurang ini berterusan, maka tekanan pada sistem di sekolah itu amat besar, apabila banyak sekolah yang tidak mempunyai guru yang mencukupi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan Projek Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Saujana Putra di sini yang akan memulakan hari pertama operasi persekolahannya pada 21 Mac ini.
Dalam pada itu, Mohd. Radzi turut memaklumkan penempatan 14,000 guru baharu sejak tahun lalu itu juga menyelesaikan hampir 55 peratus pertukaran guru ‘duka lara’ pada tahun ini.
Malah, beliau menyifatkan kelulusan permohonan pertukaran guru-guru pada tahun ini adalah paling tinggi dalam sejarah berikutan jurang kekurangan guru diselesaikan.
“Sebab itu dalam konteks pengambilan ini, pertama sekali dalam pengambilan baharu ini, pada tahun ini jumlah pertukaran guru adalah yang tertinggi dalam sejarah, lebih daripada 55 peratus daripada permohonan, biasanya sekitar 20 hingga 30 peratus sahaja.
“Dengan pengambilan baharu, seperti mana kita katakan, kita beri keutamaan pergerakan kepada guru-guru yang lama sebelum bawa masuk guru baharu di kawasan yang mana permohonan untuk pertukaran itu tinggi,” jelasnya.
Mohd. Radzi menambah, pertukaran itu turut melibatkan permohonan bertukar ke negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu yang lazimnya mendapat permohonan tinggi bagi subjek-subjek tertentu. –UTUSAN ONLINE