PETALING JAYA: Pelari pecut muda negara, Aliff Iman Mohd. Fahimi berazam meneruskan ledakan prestasinya musim lalu dengan misi lebih besar apabila kini mengintai pentas Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland tahun ini.
Pada usia 23 tahun, Aliff muncul antara nadi utama kebangkitan kuartet 4×100 meter (m) negara apabila membantu Malaysia meraih pingat perak dramatik bersama Jonathan Nyepa, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee pada final Sukan SEA Thailand 2025, Disember lalu.
Lebih manis, larian penuh keberanian itu bukan sahaja menghadiahkan perak, malah memadam rekod kebangsaan dengan catatan sensasi 39.03 saat (s), sekali gus menghidupkan semula aura pecut lelaki negara di pentas Asia Tenggara.
Penuntut Universiti Putra Malaysia itu mengakui musim 2026 menjadi medan pembuktian sebenar buat dirinya, dengan fokus utama memperbaiki catatan masa peribadi demi memastikan tempat ke dua temasya utama tersebut.
Namun, menurutnya, misi ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia bukan sekadar soal keyakinan diri, sebaliknya perlu melalui perbincangan bersama pengurusan Olahraga Malaysia (MA) berhubung kriteria kelayakan yang ditetapkan.
“2026 sasaran saya adalah untuk kekalkan momentum di Sukan SEA untuk dibawa ke Sukan Komanwel dan jika diberi peluang kami kekalkan fokus untuk persiapan ke Sukan Asia.
“Berkemungkinan akan ada masa kelayakan dan kita harus lawan catatan tersebut. Saya tidak pasti ataupun masa yang kita sudah pecahkan rekod kebangsaan itu sudah layak atau belum. Pihak pengurusan lebih tahu,” kata Aliff.
Walaupun namanya semakin meniti di bibir peminat olahraga, Aliff memilih untuk tidak terlalu ghairah mengatur sasaran jangka pendek selepas melalui musim 2025 yang disifatkannya amat mencabar fizikal dan mental.
Menurutnya, pendekatan lebih berhati-hati diambil dengan memberi keutamaan kepada pemulihan dan pembinaan semula asas kecergasan sebelum kembali memecut di trek.
“Kejohanan terdekat saya tidak boleh menjanjikan apa-apa kerana sebaik pulang daripada Sukan SEA, saya mengambil rehat yang agak panjang memandangkan musim 2025 terlalu padat dan mencabar.
“Sekarang saya baru memulakan semula fasa persediaan serta pembinaan kecergasan (conditioning), jadi buat masa ini saya belum meletakkan sebarang sasaran khusus ke arah mana-mana kejohanan. Saya juga masih menunggu perancangan jurulatih berhubung bila saya akan memulakan semula penyertaan dalam kejohanan,” katanya.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Aliff adalah ketika meraih emas dalam 4x100m bersama Muhammad Azeem Fahmi, Mohamad Raimi Mustaffa Kamal dan Mohammad Thaqif Mohammad Hisham pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Indonesia pada 2024. – UTUSAN










