PETALING JAYA: Dua pelumba pecut utama negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Ridwan Sahrom bakal menjadi sandaran utama negara dalam acara keirin lelaki pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) yang dijadual berlangsung di Filipina Mac ini.
Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Harnizam Basri berkata, pemilihan itu dibuat berdasarkan prestasi semasa dan proses penilaian rapi yang dijalankan barisan kejurulatihan, tanpa menjanjikan slot tetap kepada mana-mana pelumba.
“Ya, untuk keirin dan sprint, setakat ini Azizul dan Ridwan yang akan kita turunkan di ACC. Tetapi pemilihan sentiasa terbuka. Sesiapa sahaja yang terbaik, itu yang kita hantar.
“Kita hanya ada dua slot untuk setiap acara. Jadi semua pelumba elit perlu bersaing secara sihat. Bila ada persaingan, kita kena adil dan ikut proses pemilihan,” katanya.
Harnizam menegaskan, kehadiran semula Azizul dalam skuad kebangsaan turut memberi suntikan moral kepada barisan pelumba muda.
“Mereka sangat bermotivasi bila senior sertai semula pasukan. Aura Azizul itu masih sangat kuat,” ujarnya.
Mengulas persiapan menjelang ACC, beliau berkata pasukan kini berada dalam fasa latihan kekuatan dengan penggunaan gear berat bagi meningkatkan daya tahan dan kuasa pecutan.
“Kita sekarang dalam fasa ‘strength base’, jadi memang guna gear yang sangat berat. Pelumba nampak penat, tapi itu yang kita mahu.
“Kita mahu mereka bergelut sekarang supaya lebih bersedia dalam tempoh tujuh minggu lagi,” jelasnya.
Bagi acara pecut berpasukan lelaki, trio yang sama seperti di Sukan SEA sebelum ini iaitu Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Mohamad Akmal Nazimi Jusena, dan Muhammad Ridwan Sahrom dijangka dikekalkan. – UTUSAN










