GENEVA: Langkah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menugaskan dua utusan ‘kegemarannya’ mengendalikan dua rundingan berprofil tinggi dalam satu hari mencetuskan persoalan dalam kalangan pemerhati dasar luar.
Utusan khas AS, Steve Witkoff bersama menantu Trump, Jared Kushner melaksanakan diplomasi ulang-alik di Geneva pada Selasa bagi menangani kebuntuan isu nuklear Iran dan konflik Russia-Ukraine.
Namun, menurut pakar, langkah itu menimbulkan tanda tanya sama ada kedua-dua pegawai kanan tersebut terlalu terbeban dan berdepan cabaran besar, selain meragui keupayaan mereka mencapai kemajuan dalam menyelesaikan satu daripada dua krisis berkenaan.
RUNDINGAN BERISIKO TINGGI
Trump kerap bermegah kononnya beliau berjaya menamatkan beberapa peperangan dan konflik dalam tahun pertama penggal keduanya, termasuk secara terbuka menyatakan hasrat untuk menambah lagi perjanjian antarabangsa yang boleh diketengahkan dalam usahanya memburu Hadiah Nobel Keamanan.
Bagaimanapun, rundingan berisiko tinggi melibatkan dua isu berlarutan itu disusun dalam tempoh singkat, manakala pemilihan Geneva sebagai lokasi kedua-duanya tidak pernah dijelaskan secara terperinci, selain reputasi bandar itu sebagai tuan rumah diplomasi antarabangsa sejak sekian lama.
Bekas penasihat dasar luar pentadbiran Barack Obama, Brett Bruen yang kini mengetuai firma rundingan strategik Global Situation Room berkata, pendekatan itu menimbulkan persoalan.
“Trump dilihat lebih menekankan kuantiti berbanding kualiti, daripada kerja diplomasi terperinci yang sukar. Menangani kedua-dua isu pada masa dan tempat yang sama tidak begitu masuk akal,” katanya.
Isu Iran menjadi pembuka tirai dan gerak diplomatik yang dirancang rapi di Geneva, dengan rundingan berlangsung di bawah kawalan keselamatan ketat di dua lokasi berasingan di bandar berbahasa Perancis di Switzerland itu.
Selepas tiga jam setengah perbincangan tidak langsung antara delegasi AS dan Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi yang dikendalikan Oman, kedua-dua pihak memberi bayangan wujud sedikit kemajuan.
Namun, tiada petunjuk perjanjian hampir dicapai dalam pertikaian berlarutan berhubung program nuklear Iran.
Selagi proses diplomatik diteruskan, Trump boleh terus memperluaskan penempatan ketenteraan besar-besaran berhampiran Iran sambil menegaskan pilihan menggunakan kekerasan masih terbuka.
Situasi semasa dijangka terus mencetus ketegangan di Asia Barat, dengan banyak pihak bimbang sebarang serangan AS boleh memburukkan konflik serantau dengan lebih meluas.
Araqchi berkata, perbincangan yang lebih serius diadakan dalam pusingan terbaharu rundingan tidak langsung isu nuklear dengan AS, di mana suasana dialog disifatkan ‘lebih membina’.
“Kedua-dua pihak memutuskan untuk mula mengusahakan draf bagi satu perjanjian yang berpotensi dan selepas pertukaran teks dibuat. Tarikh rundingan seterusnya akan ditentukan kemudian,” katanya.
RISIKO KEGAGALAN
Tanpa banyak jeda pada Selasa, delegasi AS terus bergegas daripada rundingan Iran di misi diplomatik Oman ke Hotel InterContinental bagi memulakan hari pertama untuk rundingan dua hari Russia-Ukraine.
Perbincangan itu bertujuan mencari jalan menamatkan perang terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua berakhir pada 1945, konflik yang pernah dijanjikan Trump untuk diakhiri dalam tempoh sehari ketika kempen pilihan raya 2024.
Tetapi, jangkaan untuk mencapai kejayaan besar dalam pusingan terbaharu rundingan itu adalah rendah.
Seorang pegawai serantau yang rapat dengan kepimpinan Iran berkata, agenda berganda pasukan AS di Geneva menambah keraguan terhadap kesungguhan Washington dalam kedua-dua usaha diplomatik tersebut.
“Pendekatan ini berisiko menyebabkan mereka terlalu terbeban. Ia ibarat sebuah bilik kecemasan dengan dua pesakit kritikal dan hanya seorang doktor yang tidak mampu memberi perhatian berterusan kepada kedua-duanya, sekali gus meningkatkan risiko kegagalan,” kata pegawai yang tidak dinamakan itu kepada Reuters.
Sementara itu, penganalisis dari Pusat Asia Barat Carniegie di Beirut, Mohanad Hajj-Ali berkata, terlalu banyak yang dipertaruhkan dalam krisis Iran untuk AS mengendalikan diplomasi dengan cara berkenaan.
“Menugaskan pasukan yang terdiri daripada Witkoff dan Kushner untuk menyelesaikan semua masalah dunia, terus terang, adalah realiti yang mengejutkan,” katanya.
Sebahagian pakar berpendapat, kedua-dua individu itu, yang mempunyai latar belakang pembangunan hartanah, tiada kepakaran serta pengalaman mencukupi untuk berdepan perunding veteran seperti Araqchi dan wakil Russia.
Pakar turut menyifatkan pasangan berkenaan seolah-olah berada di luar kemampuan dalam menangani konflik yang begitu rumit.
Turut tidak kelihatan dalam pertemuan di Geneva dan menimbulkan tanda tanya ialah Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, diplomat tertinggi Washington yang dikenali sebagai tokoh berpengalaman dalam dasar luar negara itu.










