SINTOK: Seramai 5,795 graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini akan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-33 berlangsung tujuh hari bermula 13 Mac di Dewan Mu’adzam Shah di kampusnya dekat sini.
Menurut Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, konvokesyen tersebut akan meraikan graduan yang menamatkan pengajian pada 2020 dengan melibatkan 13 sesi serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Katanya, graduan yang akan menerima ijazah masing-masing adalah, 4,630 bagi peringkat sarjana muda dan 1,165 peringkat pascasiswazah.
“Alhamdulillah, majlis konvokesyen UUM sudah mendapat perkenan daripada Tuanku Canselor Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah setelah tertangguh pada tahun lalu.
“Kita juga akan mengadakan konvokesyen bagi graduan tahun lepas pada Oktober ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Pengasasan UUM di Dewan Mu’adzam Shah di sini hari ini.
Menyentuh tentang SOP beliau, pihaknya sudah memperhalusi aspek tersebut dengan pematuhan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Dalam erti kata lain, ibu bapa graduan tidak akan bersama dalam dewan konvokesyen itu hanya graduan sahaja. Dari segi penyerahan skrol ijazah juga tidak akan ada sentuhan fizikal dan ia akan diletakkan di meja untuk diambil oleh graduan di atas pentas.
“Kita akan meminimumkan sentuhan itu sebaik mungkin dan pada masa yang sama kita tidak mengundang jumlah yang besar tetamu kecuali dif kehormat dan mereka yang perlu berada di pentas itu sahaja agar penjarakkan sosial dapat dilakukan sebaik mungkin,” katanya. UTUSAN











