Semarak Niaga Keluarga Malaysia bantu usahawan, pulih ekonomi

Semarak Niaga Keluarga Malaysia bantu usahawan, pulih ekonomi

KOMUNITI usahawan bakal menjadi penerima terbesar manfaat Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, sekali gus menyumbang kepada momentum pemulihan ekonomi negara yang berterusan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia yang akan dilancarkan hari ini akan memastikan negara berada pada landasan pemulihan ekonomi yang kukuh semenjak penularan wabak Covid-19.

Program itu menyediakan skim pembiayaan merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk memanfaatkan setiap usahawan tidak kira perusahaan mikro ataupun syarikat tersenarai awam.

Majlis pelancaran yang berlangsung di ibu negara itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan turut dihadiri Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Perdana Menteri berkata, selain manfaat besar kepada usahawan, program tersebut juga dapat memastikan momentum pemulihan pada suku keempat tahun 2021 diteruskan.

Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) dan Bank Negara telah mengumumkan bahawa ekonomi negara meningkat sebanyak 3.1 peratus bagi tahun 2021, berbanding penguncupan 5.6 peratus pada tahun 2020.

Oleh itu, kata Ismail Sabri, kerajaan yakin bahawa usaha penciptaan pekerjaan dan pemerkasaan perniagaan melalui Bajet 2022 akan menyumbang kepada unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun ini.

Katanya, Semarak Niaga Keluarga Malaysia juga dijangka mampu membina ketahanan kewangan perniagaan terutama dalam kalangan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) di samping meningkatkan kemahiran pekerja.

“Program ini juga bermatlamat agar dijadikan pemangkin pembaharuan bagi menyokong usaha negara ke arah sebuah ekonomi yang lestari dan diperkasa oleh Transformasi Digital dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Bagi menguasai digital, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah sokongan seperti penyediaan geran pendigitalan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) dan geran padanan automasi pintar bagi mempercepatkan transformasi digital selain membantu ekonomi gig dan start-up untuk bertapak dalam dunia perniagaan,” katanya.

Sebanyak RM40 bilion diperuntukkan kerajaan menerusi pakej pembiayaan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga.

Di bawah Semarak Niaga, jaminan pembiayaan yang disediakan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) berjumlah RM22 bilion termasuk RM2 bilion khusus untuk bumiputera turut disediakan.

PEMBIAYAAN

Semua ini akan memudahkan PKS mendapat pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperoleh.

Menerusi program itu, pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.8 bilion disediakan melalui pelbagai agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional, Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Di samping itu, Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) TEKUN pula menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah sifar peratus berserta moratorium selama 12 bulan dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal dan mikro.

Pinjaman mikro sehingga RM75,000 pada kadar sifar peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan turut disediakan BSN dan Agrobank.

Perdana Menteri menambah, agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat milik kerajaan harus bekerjasama bagi merealisasikan inisiatif Semarak Niaga ini demi kesejahteraan seluruh keluarga perniagaan di Malaysia.

“Kerjasama ini akan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan bagi membantu rakyat membina semula kehidupan mereka, memberikan sokongan kepada perniagaan-perniagaan yang terjejas, dan memperkukuhkan sistem perlindungan sosial di negara ini.

Justeru, Ismail Sabri menjemput usahawan untuk merebut peluang yang akan membolehkan mereka pulih, sekali gus menyokong pemulihan sosio ekonomi negara.

“Komuniti usahawan dan perniagaan digalakkan untuk melayari Portal Manfaat Bajet 2022 di https://budget.mof.gov.my/manfaat/. Portal interakrif ini menyediakan pelbagai maklumat mengenai skim-skim dan manfaat yang ditawarkan di bawah inisiatif ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya