KUALA LUMPUR : Sistem politik yang rosak hari ini menjadi punca utama mengapa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkata, meskipun parti itu baru berusia enam bulan, beliau yakin pengundi akan menjadikan parti berkenaan sebagai platform baharu untuk memperjuangkan hak rakyat.
“Kita melihat senario politik hari ini terlalu banyak memberi impak buruk terhadap negara dan politik itu sendiri.
“Kita tetap dengan prinsip tidak akan bersama dengan pemimpin yang terpalit dengan rasuah, salah guna kuasa, agama,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mengakui terdapat banyak cabaran yang akan ditempuh nanti, Marzuki berkata, partinya yakin dengan kekuatan jentera yang ada.
“Kita juga sudah jangka pertembungan empat penjuru akan berlaku dan ia merupakan cabaran besar buat Pejuang yang merupakan parti baharu,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Marzuki tidak menafikan terdapat perbincangan sebelum ini dengan beberapa parti lain untuk bekerjasama termasuklah Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) namun kerjasama tersebut tidak berlaku.
“Tidak jadi isu pun pada kita, kita dah bersedia untuk bergerak sendiri pada PRN kali ini,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu akan bertanding di 42 daripada 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara bersendirian menggunakan logo parti itu.
Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, Pejuang tidak bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang termasuk Muda kerana enggan bersama dalam konsep khemah besar kerana terdapat perjanjian antara gabungan pembangkang dan kerajaan. – UTUSAN










