PRN Johor: Manifesto ‘bulan bintang’ tak laku lagi - Utusan Malaysia

PRN Johor: Manifesto ‘bulan bintang’ tak laku lagi

Ku Hasnan Ku Halim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti politik yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah mengetahui mereka akan berhadapan laluan sukar untuk menambat hati para pengundi sekiranya menawarkan manifesto yang tidak masuk akal atau bersifat populis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ku Hasnan Ku Halim berkata, kesemua parti atau gabungan yang bertanding dijangka membentangkan manifesto yang dekat dengan rakyat dan bertepatan dengan peringkat usia.

Katanya, golongan pengundi baharu terutama orang muda juga kini terdedah dengan pelbagai maklumat yang membolehkan mereka tahu tawaran mana yang lebih realistik untuk ditunaikan atau pun sekadar janji untuk meraih undi.

“Manifesto adalah perkara yang tidak boleh dipandang enteng dalam setiap pilihan raya, tidak kira ia sekadar Pilihan Raya Kecil (PRK), apatah lagi Pilihan Raya Umum (PRU) mahu pun PRN.

“Jika diamati golongan pengundi atas pagar atau yang tidak ada parti, mereka bukan sahaja melihat kepada perkembangan isu-isu semasa yang berlaku tetapi juga tawaran manifesto yang akan dibuat sebelum mereka memikirkan siapa atau parti serta gabungan mana layak dipilih.

“Tetapi, harus diingat manifesto bulan bintang tidak akan lagi menarik perhatian mereka. Mereka cerdik maklumat dan terkesan dengan pandemik politik pasca 8 Mei 2018,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada PRN Melaka November lalu, Barisan Nasional (BN) menggariskan lima teras utama dalam manifesto mereka yang merangkumi aspek mengekalkan kestabilan politik, merealisasikan lonjakan ekonomi baharu dan bertekad meningkatkan kecekapan tadbir urus kerajaan.

Malah, manifesto bertemakan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ itu turut berjanji untuk terus memelihara keharmonian masyarakat bersatu padu yang terdapat di Melaka dan terakhir menjayakan pembangunan mampan dan perkongsian kemakmuran.

Perikatan Nasional (PN) pula mengemukakan enam tunjang utama iaitu keutuhan ekonomi; keprihatinan kepada rakyat; kerancakan sektor pelancongan; kelestarian alam sekitar; kecekapan infrastruktur serta keteguhan dan kejujuran pentadbiran.

Sementara Pakatan Harapan (PH) memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu Melaka Sejahtera, Melaka Makmur dan Melaka Stabil yang merangkumi penjagaan kesihatan fizikal dan mental daripada ancaman Covid-19, mewujudkan pekerjaan baharu dan melaksanakan reformasi pentadbiran.

Mengulas lanjut, Ku Hasnan berkata, dalam menarik sokongan golongan pengundi muda, manifesto yang khusus kepada mereka perlu ada seperti soal pendidikan, peluang pekerjaan dan persekitaran yang mesra anak muda.

“Mereka sangat dinamik dan sebahagiannya anti kepada pertubuhan tetapi daripada kaca mata mereka faktor calon yang sesuai juga bakal menentukan kemenangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×